MCA membuat persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan menyenaraikan lebih awal calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, parti itu mengambil pendekatan berbeza kali ini sebagai langkah meraih kembali sokongan masyarakat Cina di negara ini.

Beliau berkata, senarai awal calon itu akan diserahkan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak untuk perbincangan lanjut.

"Kita perlu bergerak lebih awal, lebih cepat dan bersiap sedia di peringkat akar umbi.

"Dulu kita umum terlewat dan dekat dengan tarikh PRU, jadi tidak ada masa untuk akar umbi iaitu pemimpin peringkat bahagian untuk melaksanakan tugas dengan lebih berkesan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat ke-14 MCA, di Kuala Lumpur.

MCA juga katanya telah mula melaksanakan Sistem Penunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menyiapkan jentera partinya di peringkat bahagian.

"Kita telah menetapkan KPI di setiap bahagian supaya apabila mereka buat sesuatu mereka akan mendapat markah. Setiap bahagian akan ada sistem pemarkahan tertentu sama ada mendapat 20, 30 atau 60 markah supaya kita tahu persediaan di bahagian mana yang sudah bersiap sedia," katanya lagi.

Pilihan raya umum ke-13 yang lalu menyaksikan MCA kalah teruk, apabila parti itu kalah di 30 daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingnya, manakala daripada 89 kerusi DUN yang dipertaruhkan, MCA hanya menang 11 kerusi.