KOTA BHARU: Satu sejarah baharu tercipta dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan apabila lebih 51 peratus muka baharu dicalonkan Perikatan Nasional (PN) sempena pilihan raya itu pada 12 Ogos depan.

Daripada 45 calon yang disenaraikan, 23 merupakan muka baharu termasuk calon muda daripada golongan profesional dan ahli korporat.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kesemua calon yang disenaraikan itu merupakan pelapis dalam parti untuk bergerak pada masa depan.

"Pemilihan kesemua muka baharu itu merupakan proses peralihan parti untuk terus ke depan. Sepatutnya lebih ramai yang kita tukar tetapi orang baharu tiada pengalaman.

"Kami sebagai orang lama akan membimbing calon ini sebagai pelapis," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengisytiharan calon PRU Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di sini pada Khamis.

Jelas beliau, daripada jumlah itu juga, terdapat lima calon muka baharu yang terdiri daripada pengamal undang-undang.

"Kesemua mereka juga merupakan orang muda yang diletakkan dalam kategori profesional," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Amar memberitahu, pemilihan kesemua mereka bukan berdasarkan kerjaya berkenaan tetapi penglibatan dalam parti dan diterima di peringkat DUN.

"Kita tiada kuota khusus berkaitan kerjaya calon. Secara kebetulan, kesemua mereka mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang," katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri Datuk Ahmad Yakob mengumumkan kesemua 45 calon melibatkan 39 calon daripada Pas manakala enam lagi daripada Bersatu.

Lima calon muka baharu dalam bidang undang-undang ialah Nik Asma' Baharum Nik Abdullah (DUN Chempaka), Zameri Mat Nawang (DUN Jelawat), Zubir Abu Bakar (DUN Mengkebang), Ahmad Zakhran Mat Noor (DUN Kemuning) dan Wan Rohimi Wan Daud (DUN Melor). - Sinar Harian