KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan ke Kapit esok bagi meninjau masalah capaian internet lemah seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan, tinjauan akan turut disertai penyedia perkhidmatan bagi mendapatkan gambaran sebenar selain mencari jalan penyelesaian terhadap masalah rangkaian komunikasi yang dihadapi penduduk di pekan itu.

“MCMC telah mengadakan sesi libat urus dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Parlimen Kapit, Yang Berhormat Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, bagi memaklumkan langkah penambahbaikan rangkaian komunikasi di kawasan Kapit.

“Sebagai tambahan kepada menara komunikasi yang sedia ada, sebanyak 44 menara komunikasi baharu telah diperuntukkan yang akan menyediakan rangkaian 4G di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

"Daripada jumlah itu, pembinaan dua menara baharu yang meliputi SMK Kapit dan Kampung Balan sedang giat dilaksanakan semenjak April 2021 lalu dan dijangka beroperasi pada suku kedua 2022,” kenyataan itu menyebut.

Pada masa yang sama, 42 menara komunikasi baharu akan dibina meliputi kawasan pedalaman, dijangka akan siap beroperasi secara berperingkat sehingga penghujung Disember 2022.

Selain itu, kerja-kerja naik taraf rangkaian kepada 4G ke atas 17 stesen pemancar telah siap dilaksanakan manakala kerja-kerja penyambungan rangkaian gentian optik sedang giat dijalankan di sepanjang jalan baharu dari pekan Kanowit hingga ke Song dan Kapit.

“Dianggarkan 707 premis sekitar Kapit dan Song akan menikmati capaian jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi yang lebih baik.

“Penyambungan rangkaian gentian optik ini dijangka siap menjelang suku pertama 2022 dan merupakan antara inisiatif JENDELA bagi menyediakan capaian jalur lebar berkelajuan tinggi,” tambah kenyataan itu.

Bagi mengatasi masalah capaian jalur lebar di kawasan pedalaman yang berbukit bukau di daerah Song dan Kapit pula, 84 lokasi telah dikenal pasti untuk pemasangan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit (Wifi VSAT). Ia dijangka siap pada Januari depan.