KUALA LUMPUR:Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius insiden sekumpulan pekerja sebuah syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan yang tular baru-baru ini.

Susulan itu, MCMC dalam kenyataan media menyeru agar pihak pengguna memahami dan mengetahui hak mereka sebelum memilih perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat penghantaran.

“Pihak pengguna perlu menghubungi penyedia perkhidmatan untuk membuat sebarang aduan dan tuntutan sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan barangan semasa dalam tempoh penghantaran.

“Sekiranya pengguna tidak berpuas hati dengan resolusi yang ditawarkan, permohonan rayuan boleh dikemukakan kepada pihak MCMC di https://aduan.skmm.gov.my/ berserta maklumat lengkap supaya siasatan dan tindakan susulan boleh diambil,” jelas MCMC pada Selasa.

Dalam pada itu, MCMC telah mengarahkan syarikat kurier berkenaan untuk memberi penjelasan.

“MCMC memberi amaran keras kepada pengurusan syarikat kurier terbabit supaya mengambil langkah perlu bagi memperbaiki tatacara pengendalian bungkusan pelanggan mereka.

“MCMC juga ingin mengingatkan kepada semua syarikat kurier yang berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 agar sentiasa mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan terutama dalam melindungi hak pengguna bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak diambil ke atas syarikat mereka.

“Sekiranya pemegang lesen didapati ingkar dan melanggar mana-mana perundangan subsidiari di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012, mereka boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM300,000 atau tempoh penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali,” tambah kenyataan itu.

BACA: Apa hal ni? Tular kakitangan syarikat kurier baling barang pelanggan 


J&T Express | Mohon maaf, salah faham punca pekerja mogok

Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila tular sebuah rakaman video memaparkan sekumpulan pekerja syarikat kurier bertindak membaling barangan di sebuah gudang pada Ahad.

Dari sudut video itu dirakamkan, kelihatan jelas seorang pekerja membaling bungkusan-bungkusan barangan, selain disambut teriakan beberapa kakitangan lain seperti meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu.

Bagaimanapun, syarikat perkhidmatan penghantaran barangan J&T Express memohon maaf atas tindakan kakitangannya yang mencampak barang pelanggan seperti dalam video yang tular di media sosial.

Pengurusan J&T Express Perak dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook J&T Express Malaysia-Perak berkata, perilaku yang ditunjukkan ketika mengagihkan bungkusan adalah secara ganas dan tidak menyenangkan.