PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempelawa penyelidik untuk mengemukakan kertas cadangan di bawah program Geran Kajian Masyarakat Digital (DSRG).

MCMC dalam kenyataan memaklumkan enam tajuk di bawah dua bidang kajian iaitu Warga Digital dan Kesejahteraan Siber serta Keterangkuman Digital yang berkait rapat dengan perkhidmatan digital, e-dagang, Internet Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), identiti dan keselamatan digital serta isu privasi, dikenal pasti untuk kertas cadangan itu.

Tajuk berkenaan ialah Hak dan Perlindungan Pengguna untuk Pelanggan Perkhidmatan Telekomunikasi melalui Penyediaan Kerangka Pampasan Automatik; Memahami Aspek Tingkah Laku Buli Siber dan Intervensi untuk Mangsa, Pelaku, Ibu Bapa dan Pihak Berkepentingan; dan Keberkesanan Inisiatif dan Penguatkuasaan Undang-Undang dalam Usaha Menangani, Mengurus dan Mengatasi Penyebaran Berita Palsu berkaitan Pandemik COVID-19.

Analisis Jurang Kompetensi Industri Komunikasi dan Multimedia; Kesan Inisiatif Akses Internet dan Kebolehaksesan Bagi Memenuhi Keperluan Pelajar Dalam kategori M40 dan B40 Sepanjang Tempoh Langkah Pencegahan COVID-19 dan Kajian Impak Program Klik Dengan Bijak (KDB).

"MCMC berganding bahu dengan pihak penyelidik yang memberi input berguna dan kaedah soal selidik yang digunakan. Penglibatan MCMC dalam kajian ini membolehkannya untuk terus membuat keputusan berdasarkan data dan bukti dalam pengurusannya," menurut MCMC.

Bagi bidang kajian berkaitan Warga Digital dan Kesejahteraan Siber, MCMC berkata ia bermatlamat untuk memperjelaskan jurang yang mempengaruhi penyertaan, penggunaan positif dan kesejahteraan dalam dunia yang kian bergantung kepada teknologi digital.

Sementara bidang kajian berkenaan Keterangkuman Digital pula, ia bertujuan untuk memperjelaskan jurang berkaitan faktor yang menghalang kesaksamaan akses bagi memastikan tidak ada sesiapa yang dinafikan haknya untuk menikmati manfaat kesalinghubungan digital, kata MCMC.

Pautan bagi panggilan kertas cadangan berkenaan ialah https://www.mcmc.gov.my/ms/grants/2021-digital-society-research-grant-call-for-propo dan akan ditutup pada 8 Sept pada 5 petang.

Geran DSRG dilancarkan pada Julai 2020 bertujuan membina kajian berasaskan bukti yang diperlukan untuk mempromosi dan menambah baik kefahaman mengenai faktor manusia dan sosial, yang mempengaruhi dan menyumbang kepada penggunaan serta pengamalan teknologi dan perkhidmatan digital.

Menerusi geran tersebut, MCMC mencari kombinasi projek penyelidikan secara terbuka dan terpimpin bagi memperjelaskan jurang kawal seliaan dan pembangunan, serta mencadangkan tindakan yang bersesuaian.

-- BERNAMA