Skip to main content

Malaysia

Mekanik cedera ditembak di bengkel di Sungai Lembu

PDRM
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian tembakan tersebut.
Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Seorang mekanik cedera di tapak tangan kanan akibat ditembak di sebuah bengkel kenderaan terpakai berhampiran kawasan perkuburan Cina di Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata kejadian berlaku pada 1.05 tengah hari dan lelaki berusia 43 tahun itu ditembak oleh seorang daripada dua suspek lelaki yang menaiki motosikal. 

“Mangsa yang cedera melarikan diri ke kawasan perkuburan Cina bagi menyelamatkan diri manakala dua suspek meninggalkan tempat kejadian.

“Kejadian menyebabkan mangsa luka dan patah tulang tapak tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Aminuddin berkata mangsa telah dibawa ke hospital dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa barang kes dipercayai berkaitan dengan kejadian dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat ASP Muazzam Shaaban menerusi talian 017- 4825 017. 

Nik Aminuddin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement