KUANTAN: Seorang mekanik maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah van polis di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Johor Bahru di Rompin, semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Mondoi berkata mangsa Mohd Faizal Ismail, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dalam kejadian kira-kira 7.20 malam itu.
Advertisement
“Siasatan awal mendapati van tersebut yang dipandu anggota polis berusia 26 tahun bersama lima penumpang lain itu dalam perjalanan dari Maran menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin sebelum membelok ke kanan untuk memasuki sebuah stesen minyak di Bandar Rompin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu van itu telah memberi laluan kepada beberapa kenderaan lain dan dipercayai menganggap keadaan selamat untuk memasuki stesen minyak berkenaan, namun motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan telah melanggar bahagian kiri van berkenaan.
Sharif Shai berkata semua anggota polis dalam kenderaan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA