ALOR GAJAH: Liputan rangkaian 5G di Melaka kini mencecah 89.9 peratus manakala liputan 4G telah mencapai 100 peratus di kawasan berpenduduk, hasil perancangan yang tersusun dan pelaksanaan konsisten dalam usaha memperluas capaian digital serta telekomunikasi di negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pencapaian itu, diperkukuh dengan pengoperasian sebuah menara telekomunikasi baharu di Taman Seri Jeram, Masjid Tanah yang akan menyediakan liputan rangkaian lebih meluas, stabil dan berkualiti kepada penduduk.
“Menara berketinggian 60 meter itu juga merupakan menara ke-400 milik Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), daripada keseluruhan 450 menara yang telah berjaya disiapkan.
“Menara ini juga berkeupayaan menampung sehingga tujuh penyedia perkhidmatan telekomunikasi, sekali gus memperkukuh liputan rangkaian dan memastikan rakyat menikmati capaian Internet yang lebih pantas serta stabil,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Menara Telekomunikasi, di sini hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.
Ab Rauf berkata menara itu, akan menyediakan liputan rangkaian yang lebih baik kepada penduduk di sekitar Kampung Seri Jeram, Taman Seri Jeram, Taman Jeram Perdana, Jalan Lubok Redan, Kolej Komuniti Masjid Tanah, Taman Seri Paya Rumput dan Kampung Paya Rumput.
Beliau berkata hasil usaha yang dilaksanakan secara berterusan, Kampung Jeram dan Kampung Pulau bukan sahaja telah menikmati liputan 4G sepenuhnya, malah kini turut menerima kemudahan teknologi 5G yang menawarkan pengalaman digital lebih pantas dan berkualiti.
Ab Rauf berkata setakat ini, sebanyak 74 menara telah beroperasi sepenuhnya manakala 13 lagi berada pada peringkat penyelarasan akhir sebelum diaktifkan.
“Pencapaian liputan 4G dan 5G itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan digital tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya dapat dinikmati masyarakat di seluruh Melaka.
“Kita tidak mahu jurang digital terus memisahkan masyarakat bandar dan luar bandar. Apa yang kita mahu ialah setiap rakyat Melaka mendapat peluang yang sama untuk menikmati manfaat teknologi dan ekonomi digital,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MICTH, CelcomDigi, Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka, atas kerjasama dalam memperkukuh infrastruktur telekomunikasi negeri.
-- BERNAMA