MELAKA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka diarah mencari kaedah berkesan bagi mempertingkatkan tahap keselamatan di sekolah dalam usaha mencegah kes penculikan.

Tegas Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin, meskipun tiada kejadian culik berlaku di Melaka setakat ini, satu langkah pencegahan perlu dilakukan bagi mengelakkan Melaka menjadi sasaran penjenayah.

"Sebab itu perlu ada satu mesyuarat penyelarasan ... perlu kepada satu kerjasama di antara pihak JPN, pihak sekolah sendiri, dan juga PIBG," kata Rais.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Persidangan Teknologi Grid Pintar Melaka, di sini, pada Selasa.

Tambah beliau, keselamatan murid perlu diberi perhatian serius ekoran dakwaan berlaku kes penculikan di beberapa negeri kebelakangan ini.

Ujar Rais, pihak sekolah perlu sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi meningkatkan tahap keselamatan murid.

Sehubungan itu, jelasnya, satu mesyuarat penyelarasan antara JPN, sekolah, dan PIBG akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.