MELAKA: Melaka bersiap sedia menghadapi peralihan monsun bermula 29 Mac lepas, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata kerajaan negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Melaka dalam menghadapi situasi peralihan monsun berkenaan.

"Di pihak MetMalaysia, saya juga selalu berbincang, kalau ada apa-apa amaran (berkaitan cuaca) kita akan bagitahu awal (kepada penduduk).

"...dan di pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun NADMA, kita sentiasa bersiap sedia tetapi setakat ini tiada insiden banjir atau apa-apa yang teruk (berkaitan bencana alam)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah sebelum ini berkata keadaan cuaca panas dan kering yang dialami ketika ini di kebanyakan kawasan di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April.

Beliau berkata ia susulan permulaan fasa peralihan monsun dijangka bermula 29 Mac dan berterusan hingga Mei, menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku sejak 11 Nov tahun lepas.

Katanya keadaan cuaca berkenaan berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

-- BERNAMA