MELAKA: Sejumlah 8,190 dos vaksin COVID-19 untuk pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Melaka, selamat tiba di Hospital Melaka pada tengah hari tadi.

Vaksin yang dibawa dengan sebuah van penyimpanan khas milik syarikat logistik melalui jalan darat itu diiringi dengan tujuh kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, Melaka akan memulakan proses suntikan vaksin fasa pertama bermula 2 Mac ini dengan melibatkan kira-kira 11,000 petugas barisan hadapan dan wakil rakyat.

“Hari ini mencatatkan sejarah kita terima 8,190 dos vaksin dan lebihan 2,810 lagi dos vaksin akan tiba dalam masa dua hari lagi bagi melengkapkan jumlah 11,000 agihan vaksin pada fasa pertama.

“Bagi fasa pertama nanti, pemberian vaksin akan membabitkan golongan pemberi vaksin pada Jumaat ini diikuti kepemimpinan kerajaan diketuai Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebelum disusuli petugas barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar pekarangan Hospital Melaka selepas meninjau proses simpanan sejumlah 8,190 dos vaksin pertama yang diterima untuk negeri ini di Hospital Melaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut tambahnya, fasa kedua vaksin di Melaka pula dijangka akan bermula pada Mei hingga Ogos depan melibatkan 250,000 pesakit kronik dan warga emas, manakala fasa tiga membabitkan 400,000 individu berumur 18 tahun ke atas pada September hingga Februari 2022.

Katanya, di Melaka, sebanyak 16 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) membabitkan tiga hospital dan 13 Klinik Kesihatan (KK) sudah dikenal pasti di negeri ini untuk pengambilan vaksin bagi fasa satu hingga fasa tiga.

Turut disediakan, lokasi pemberian vaksin berpusat di beberapa dewan orang ramai termasuk Dewan Tun Ali, Bukit Katil dan Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau bagi fasa kedua kelak.

“Pendaftaran penerimaan boleh dilakukan dengan beberapa cara iaitu menerusi aplikasi My Sejahtera, menghubungi bilik gerakan Jabatan Kesihatan negeri di talian 06-2356876 atau emel [email protected],” tambahnya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar secara sukarela menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha memutuskan rantaian pandemik itu.