SIBU: Seorang warga emas ditemui mati  berlumuran darah di kaki lima di sebuah bangunan komersial di Jalan Tuanku Osman di sini pada Khamis.

Mangsa dikenali sebagai Awang Chek Awang Bujang, 67 tahun, ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam sekitar jam 6.45 petang sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Collin Babat berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Beliau dalam kenyataannya pada Jumaat, berkata hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan tersebut, mangsa dilihat sedang berjalan di kaki lima itu sebelum rebah.

Mangsa dari Kampung Bungin, Spaoh itu dipercayai muntah darah akibat masalah kesihatan.

Kata Collin, pemeriksaan lanjut ke atas mayat mangsa mendapati tiada kesan kecederaan yang boleh mengaitkan dengan darah yang keluar dari mulut mangsa.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa memaklumkan warga emas itu mempunyai masalah kesihatan termasuk kanser paru-paru.

Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).