KUALA LUMPUR: Lebih dua dekad dimeterai, Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) dilihat terus menyepi tanpa taring penguatkuasaan, meninggalkan jutaan rakyat di rantau ini terperangkap dalam kemelut jerebu berpanjangan.
Ketua Penyelidik Unit Undang-Undang Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi Rusli berkata, kelemahan utama AATHP bukan pada kerangka undang-undang, tetapi keterbatasan kuasa untuk menghukum negara punca.
Menurut Hazmi, undang-undang antarabangsa bersifat mendatar, bukan menegak seperti undang-undang domestik, bermakna tiada kuasa besar atau mahkamah dunia yang boleh memaksa sebuah negara berdaulat untuk tunduk kepada hukuman tanpa persetujuan.
“Negara memiliki kedaulatan. Konsep kedaulatan ini bermaksud negara tidak boleh dipaksa untuk menerima sesuatu yang mereka tidak mahu.
"Kalau Indonesia atau mana-mana negara terlibat tidak mahu ikut serta dalam prosiding mahkamah antarabangsa, tiada apa yang akan berlaku. Tidak boleh dipaksa.” jelas Hazmi dalam program Agenda AWANI, di sini, pada Rabu.
Beliau turut menyentuh Artikel 27 dalam perjanjian AATHP yang hanya menekankan kaedah perbincangan dan rundingan sebagai jalan penyelesaian terbaik.
“Persoalannya, sampai bila kita nak buat perbincangan? Sekiranya sikap acuh tak acuh dan sambal lewa ini berterusan, sampai bila-bila pun kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera tidak akan selesai,” katanya lagi.
Jelas Hazmi, kunci penyelesaian kini terletak pada undang-undang domestik di negara punca, tindakan tegas harus diambil terhadap syarikat atau perusahaan yang dikenal pasti melakukan pembakaran terbuka.
"Ini satu bidang kuasa yang jelas berada di tangan pemerintah tempatan," tegas Hazmi.
Selagi kedaulatan negara digunakan sebagai perisai untuk mengelak tanggungjawab rentas sempadan, jerebu akan terus menjadi 'tradisi' tahunan yang menyesakkan, manakala AATHP kekal sebagai nukilan cantik di atas kertas tanpa kuasa hukuman nyata.