Skip to main content

Malaysia

MySiren boleh digunakan untuk kes tanah runtuh, gempa bumi dan orang hilang

Fahmi bercakap pada sidang media selepas Sesi Ujian Sistem Amaran Awal MySiren Seluruh Negara di Markas SMART, Pulau Meranti, di Puchong, hari ini. - Foto Astro AWANI
Fahmi bercakap pada sidang media selepas Sesi Ujian Sistem Amaran Awal MySiren Seluruh Negara di Markas SMART, Pulau Meranti, di Puchong, hari ini. - Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Sistem Amaran Awal MySiren berpotensi digunakan untuk menyampaikan maklumat kecemasan seperti tanah runtuh, gempa bumi dan kes orang hilang.
  • MySiren boleh dimanfaatkan oleh NADMA, PDRM, PBT dan MKN untuk memberi arahan pemindahan atau maklumat kecemasan kepada penduduk kawasan berisiko.
  • Ujian sistem MySiren dicadangkan diadakan setiap tahun pada Oktober untuk meningkatkan kesedaran, namun tarikh pelaksanaan masih belum dimuktamadkan.
Advertisement

PUCHONG: Sistem Amaran Awal MySiren berpotensi dimanfaatkan bagi menyampaikan maklumat berkaitan pelbagai situasi kecemasan termasuk tanah runtuh, gempa bumi dan kes orang hilang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, selain Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut berpotensi menggunakan sistem berkenaan mengikut keperluan masing-masing.

Menurutnya, sistem itu boleh digunakan bagi menyampaikan maklumat kepada penduduk di kawasan berisiko, termasuk arahan pemindahan sekiranya berlaku banjir kilat atau tanah runtuh.

Advertisement

“Sebagai contoh, jika berlaku banjir kilat atau tanah runtuh, sistem ini boleh digunakan untuk mengarahkan penduduk di sesuatu kawasan berpindah,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan PDRM juga akan diperluas bagi membolehkan sistem itu dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat berkaitan kes tertentu, termasuk individu yang dilaporkan hilang.

Advertisement

Dalam pada itu, beliau berkata MySiren akan beroperasi selama 24 jam bagi memastikan maklumat amaran dapat disampaikan pada bila-bila masa memandangkan kejadian kecemasan boleh berlaku tanpa mengira waktu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Ujian Sistem Amaran Awal MySiren Seluruh Negara di Markas SMART, Pulau Meranti, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau meminta NADMA dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memastikan ujian sistem berkenaan dilaksanakan setiap tahun pada Oktober bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap fungsi MySiren.

Bagaimanapun, cadangan tarikh pelaksanaan itu masih belum dimuktamadkan, dengan 1 Oktober antara tarikh yang dicadangkan.

Must Watch Video

Advertisement