Kita sasarkan sebanyak 80 peratus penduduk mendapat vaksinasi Covid-19 sebelum akhir tahun ini agar dapat mencapai imuniti kelompok.

Bagi mencapai sasaran tersebut, kerajaan menetapkan sasaran untuk meningkatkan pemberian vaksin sebanyak 100,000 dos sehari dan apabila menerima sekitar 16 juta dos vaksin dalam tempoh dua bulan akan datang, kadar vaksinasi harian akan mencecah 150,000 dos sehari dan angka ini akan terus meningkat.

Perlaksanaannya perlu bersifat komprehensif agar dapat mencapai imuniti kelompok dengan berkesan.

Oleh itu, khidmat pengangkutan awam bergerak merupakan salah satu inisiatif dan langkah tepat untuk mempercepatkan pemberian vaksin tersebut.

Perkhidmatan bas dan van bergerak boleh diketengahkan untuk menyokong inisiatif ini.    

Vaksinasi dipercepat, pengusaha bas dan van peroleh manfaat

Selain membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin diseluruh negara, khidmat vaksinasi bergerak juga mampu membantu mempercepatkan perlaksanaannya.

Kaedah vaksinasi bergerak ini sesuai dilaksanakan terutamanya ke kawasan yang sukar diakses seperti pendalaman dan penempatan orang asli serta tapak-tapak industri.

Perlaksanaan projek perintis baru-baru ini telah berjaya dilaksanakan di kawasan-kawasan tertentu terutamanya di kawasan bandar dan berjaya meningkatkan jumlah vaksinasi di kalangan masyarakat.

Kaedah dan perlaksanaannya mungkin sedikit berbeza di kawasan bandar dan di luar bandar.

Jika di kawasan bandar, penggunaan bas lebih sesuai kerana mempunyai jaringan kemudahan jalan raya yang lebih baik berbanding penggunaan van di kawasan luar bandar.

Di samping itu, khidmat vaksinasi bergerak ini juga dapat memberikan manfaat kepada pengusaha bas dan van yang terkesan akibat berlakunya pandemik Covid-19.

Jika dilihat, kebanyakan pengusaha bas dan van mengalami situasi sukar waktu sekarang akibat kos pengoperasian dan kawalan pergerakan yang dilaksanakan diseluruh negara dan mengakibatkan banyak pengusaha terpaksa gulung tikar.

Namun, jika inisiatif khidmat vaksinasi bergerak ini diperluas menggunakan khidmat pengangkutan bas dan van dengan bantuan kewangan daripada pihak kerajaan, setiap pengusaha boleh menarik nafas lega demi kelangsungan perniagaan.

Bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna, penyediaan cecair pembasmi kuman disediakan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.

Malah, pegawai perubatan atau sukarelawan boleh ditempatkan bersama-sama di khidmat vaksinasi bergerak tersebut bagi melancarkan lagi program vaksinasi yang telah dirancang.

Hakikatnya, perlaksanaan khidmat vaksinasi bergerak bukan sahaja dapat melindungi kesihatan tetapi juga dapat membantu penjanaan ekonomi di kalangan pengusaha bas dan van yang telahpun terjejas.

*Ts. Dr. Mohd Fahmy Abdullah merupakan teknologis profesional di dalam bidang pengangkutan dan logistik yang diperolehi dari Malaysian Board of Technologist (MBOT) yang membawa gelaran Ts., Penyelidik Utama, Kumpulan Integrasi Oasis, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pengangkutan Bandar daerah Batu Pahat. Email: [email protected]

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.