Skip to main content

Malaysia

Menara tinjau, pasukan penyelamat pantai bantu kurangkan risiko lemas di Kelantan - APM

Sumber: BERNAMA
Menara tinjau dan penempatan pasukan penyelamat pantai di lokasi tumpuan pengunjung itu membolehkan pemantauan dilakukan secara lebih berkesan. - Foto BERNAMA
Advertisement

KOTA BHARU: Empat menara tinjau yang ditempatkan di pantai utama di Kelantan membantu mengurangkan risiko kejadian hampir lemas dan lemas apabila pemantauan berterusan djalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), terutama pada musim cuti dan Monsun Timur Laut (MTL).

Pemangku Pengarah APM Kelantan Lt Kol (PA) Mohd Farid Ishak berkata menara tinjau ditempatkan di Pantai Geting, Tumpat; Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu; Pantai Irama, Bachok; dan Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh.

Beliau berkata menara tinjau dan penempatan pasukan penyelamat pantai di lokasi tumpuan pengunjung itu membolehkan pemantauan dilakukan secara lebih berkesan.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, berlaku insiden hampir lemas dan lemas di kawasan pantai. Apabila pasukan penyelamat pantai ditempatkan dan ada menara tinjau di lokasi berisiko, kita dapat mengurangkan risiko kejadian,” katanya kepada pemberita selepas Program APM Bersama Media 2026 di Kompleks Sukan Wakaf Mek Zainab, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden di pantai hampir setiap bulan, serta di kawasan jeram termasuk di Gua Musang dan Kuala Krai.

Katanya kebanyakan lokasi rekreasi yang menjadi tumpuan pengunjung di setiap jajahan dikenal pasti sebagai kawasan panas dan dipantau secara berterusan.

Sehubungan itu, Mohd Farid mengingatkan orang ramai supaya tidak mandi atau bermain air di pantai, sungai dan jeram sepanjang MTL berikutan keadaan ombak dan arus yang berbahaya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan perlindungan apabila berlaku guruh dan petir serta tidak berlindung di bawah pokok atau berhampiran tiang elektrik.

Terdahulu, seramai 10 pengamal media tempatan antaranya dari Bernama, TV3, Berita Harian serta China Press menyertai program itu.

Program itu bertujuan memberikan penerangan dan latihan praktikal mengenai kaedah penyelamatan ketika berada di air serta tindakan awal yang perlu dilaksanakan ketika kecemasan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement