PUTRAJAYA: Produk kosmetik Karisma Turmeric Booster Cream serta Flashhskinzz Treatment Cream tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia kerana dikesan mengandungi racun berjadual, merkuri.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata ia susulan notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi.

"Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf," katanya.

Selain itu, merkuri juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan dan boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Dr Noor Hisham berkata penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut perlu dihentikan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

"Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers," kata beliau.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi 'NPRA Product Status' yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

-- BERNAMA