Ringkasan AI
- Dua beradik maut dalam kemalangan motosikal di Kampung Bechah Tendong dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung pagi tadi.
- Jenazah Muhammad Saiful Haider, 10, dan Muhammad Saiful Hayyan, 6, disolatkan di Masjid Al-Hanan dihadiri lebih 100 jemaah sebelum dikebumikan satu liang lahad.
- Bapa mangsa meluahkan rasa terkilan kerana kedua-dua anaknya tidak memakai topi keledar ketika kejadian, hanya abang sulung mereka memakainya.
PASIR MAS: Dua beradik yang maut dalam kemalangan motosikal di Kampung Bechah Tendong, di sini semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung kira-kira 11 pagi tadi.
Terdahulu, jenazah Muhammad Saiful Haider Saiful Nizam, 10, dan adiknya Muhammad Saiful Hayyan Saiful Nizam, 6, disolatkan di Masjid Al-Hanan yang dihadiri lebih 100 jemaah, sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad.
Mengimbau kejadian itu, bapa kanak-kanak berkenaan, Saiful Nizam Abdul Sani, 42, berkata Muhammad Saiful Hayyan bersungguh-sungguh mahu mengikut abang sulungnya Muhammad Saiful Haikal, 18, menaiki motosikal untuk menjemput Muhammad Saiful Haider di sekolah.
"Haider dan Hayyan sememangnya rapat seperti kembar kerana sering melakukan aktiviti bersama โฆ abang sulungnya juga biasanya membantu saya mengambil mereka dari sekolah sekiranya tiada kelas pada sebelah petang," katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung, di sini.
Walaupun reda dengan pemergian dua anaknya itu, Saiful Nizam mengakui terkilan kerana mereka tidak memakai topi keledar ketika membonceng motosikal yang ditunggang abang sulungnya itu.
"Topi keledar itu penting, mungkin hal itu kesilapan saya," katanya dan menambah ketika kejadian, hanya Muhammad Saiful Haikal yang mengenakan topi keledar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang memberikan sokongan moral, kata-kata semangat dan ucapan takziah kepada keluarganya.
Dalam kejadian semalam, Muhammad Saiful Hayyan dan Muhammad Saiful Haider maut, manakala Muhammad Saiful Haikal cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas di kampung berkenaan.
-- BERNAMA