Majlis pengebumian jenazah seorang doktor perubatan yang juga mangsa kesembilan COVID-19 dikawal rapi anggota polis.

Jenazah selamat dikebumikan selepas Zohor di sebuah tanah perkuburan dekat Alor Setar, Kedah.

Anggota keluarga mangsa tidak dibenarkan memasuki dan menghampiri lokasi perkuburan.

Wakil media turut tidak dibenarkan merakam gambar pengebumian dan hanya selepas selesai sahaja baru dapat merakam.

Kelihatan van membawa mangsa dan jentera pengorek berada di lokasi perkuburan.

Mangsa merupakan seorang doktor perubatan menjadi mangsa jangkitan COVID-19 pertama dalam kalangan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas disahkan meninggal dunia jam 10.33 pagi tadi.

Ia adalah kematian kesembilan akibat COVID-19 di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, doktor berusia 48 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Fauziah, Perlis.

Mangsa dipercayai mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan dimasukkan ke hospital berkenan pada 17 Mac lalu selepas mengalami simptom Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

Mangsa disahkan positif COVID-19 pada 18 Mac lalu dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac berikutan keadaan kesihatan yang merosot.