KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan harga maksimum daging lembu tempatan seperti yang diwartakan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021 yang berkuat kuasa pada 21 April 2021 sehingga 20 Mei 2021.

Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan harga siling berkenaan iaitu RM34.00 sekilogram, dibuat secara seimbang hasil daripada kajian menyeluruh di semua peringkat.

Jelasnya, ia termasuk daripada pengeluar, pemborong sehingga peruncit dengan semua pihak dipastikan masih boleh mendapat keuntungan.

"Mekanisme yang digunakan adalah menerusi sesi libat urus yang berterusan di antara pemain industri, persatuan pengguna dan agensi kerajaan yang relevan.

"SHMMP HRP 2021 ini turut melindungi kepentingan kumpulan peniaga demi memastikan elemen mengaut keuntungan berlebihan tidak berlaku.

"Perlakuan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga, tidak sahaja berlaku dalam lingkungan antara peniaga dengan pengguna, situasi ini juga boleh berlaku dalam kalangan peniaga sesama peniaga juga," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

SHMMP HRP 2021 menetapkan harga siling di setiap peringkat perniagaan dengan tujuan tiada manipulasi harga untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah berlaku di antara peniaga kepada peniaga.

Dalam pada itu katanya, penetapan harga maksimum daging lembu tempatan adalah untuk bahagian lembu biasa sahaja yang menjadi pilihan sebahagian besar pengguna.

"Bahagian lain seperti tulang, hati, limpa, perut, usus, ekor, daging batang pinang, daging harimau menangis serta bahagian daging yang telah dibuang urat dan lemak tidak termasuk dalam harga siling SHMMP dan peniaga bebas menjualnya pada harga munasabah.

"Pengguna yang berkeinginan kepada bahagian lembu yang premium seharusnya bersedia untuk membayar pada harga yang premium juga," ujarnya.

Justeru itu tambahnya, dakwaan segelintir pihak bahawa peniaga mengalami kerugian disebabkan penetapan harga siling ini adalah tidak tepat.

"Peniaga masih boleh membuat keuntungan dalam tempoh pelaksanaan SHMMP HRP 2021, cuma tidak dinafikan, margin keuntungan mungkin tidak seperti hari di luar pelaksanaan SHMMP ini dan seharusnya dapat ditampung oleh permintaan yang tinggi semasa musim perayaan.

"Pada hari-hari biasa, peniaga boleh menentukan sendiri harga jualan dan margin keuntungan yang dikehendaki. Namun begitu, sekiranya berlaku jualan harga runcit yang tidak munasabah dan terdapat elemen pencatutan kepada pengguna, peniaga boleh disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011)," jelasnya.

Tegasnya, berdasarkan pemantauan KPDNHEP di bawah SHMMP HRP 2021 bagi daging lembu tempatan peringkat runcit, terdapat peniaga yang menjual pada harga lebih rendah daripada harga maksimum ditetapkan iaitu antara RM27 hingga RM32 sekilogram berbanding harga maksimum RM34 sekilogram.

Katanya, pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan setiap hari di semua kawasan di seluruh negara oleh penguat kuasa KPDNHEP juga mendapati secara keseluruhan 99.26 peratus peniaga dari sejumlah 38,299 premis peruncit dan pemborong mematuhi harga maksimum yang ditetapkan.

BACA: Makin nak Raya, harga daging makin naik

"Sehingga kini, hanya 13 peniaga sudah dikenakan tindakan kerana menjual daging lembu melebihi harga maksimum dengan 12 peniaga dikenakan kompaun manakala seorang lagi peniaga masih dalam siasatan.

"Untuk rekod, SHMMP dilaksanakan sebagai satu usaha dan tanda komitmen kerajaan untuk mengurus sebarang risiko kenaikan harga yang tidak terkawal di pasaran akibat permintaan yang meningkat menjelang dan semasa musim perayaan.

"Kementerian telah mengenal pasti kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, daging, hasil laut, sayuran dan barang kering di bawah SHMMP HRP 2021 Fasa 1 dan 2," jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan perlu mengurus risiko kenaikan harga menerusi pelaksanaan SHMMP HRP 2021 bagi persediaan menghadapi Hari Raya Puasa yang bakal disambut pada 13 Mei 2021 untuk memastikan pengguna boleh menikmati harga akhir pengguna yang berpatutan.