BERDASARKAN anggaran Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11, populasi bandar di Malaysia akan bertambah kepada 25.9 juta orang atau 76.6 peratus pada tahun 2020. Ramai akan beralih ke kawasan bandar untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik untuk masa hadapan.

Untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, bandar-bandar di Malaysia perlu bersedia menyediakan infrastruktur dan kemudahan untuk rakyat menjelang tahun 2020.

Hakikatnya, kebanyakan bandar di Malaysia masih menghadapi pelbagai cabaran seperti kemiskinan bandar, masalah pengangkutan awam dan kekurangan rumah mampu milik.

Maka, belanjawan 2020 perlu memberi fokus kepada kesejahteraan bandar bagi membela nasib hidup warga kota yang kian terbeban dengan cabaran ekonomi global yang tidak menentu pada tahun 2020.

Kemiskinan bandar perlu ditangani

Jabatan Perangkaan pada tahun 2017 meletakkan gaji bulanan median di bandar sebanyak RM2,260 sebulan berbanding RM1,400 di luar bandar. Meskipun gaji bulanan median di bandar lebih tinggi, hakikatnya, majoriti isi rumah di bandar berpendapatan kurang daripada gaji bulanan median tersebut, dibawah RM 3,000.

Kajian Bank Negara mendapati 27% isi rumah di Kuala Lumpur memperolehi pendapatan dibawah kadar gaji kehidupan benar, iaitu sebanyak RM2,700. Perkara Ini menunjukkan gaji mereka di bandar masih rendah dan tidak sepadan dengan kos sara hidup yang kian meningkat.

Ramai warga kota telah beralih kepada ekonomi ‘gig’ untuk menambah sumber pendapatan. Ekonomi ‘gig’ terdiri daripada mereka bekerja sendiri dalam menyediakan perkhidmatan secara separuh masa atau freelancer. Perkembangan teknologi seperti capaian internet yang tinggi di bandar telah membantu ekonomi ‘gig’ berkembang.

Laporan Bank Dunia menunjukkan mereka terlibat dalam ekonomi ‘gig’ di bandar-bandar Malaysia telah meningkat dari 11% pada tahun 2010 kepada 15% pada tahun 2017. Meskipun ekonomi ‘gig’ boleh menambah pendapatan mereka, tetapi ia tidak dapat menampung kestabilan hidup di bandar. Mengapa?

Kadar gaji yang diperolehi mereka bekerja sendiri atau dalam ekonomi ‘gig’ tidak menentu dan masih rendah, tidak mempunyai jaringan keselamatan sosial seperti KWSP dan insuran keselamatan. Hal ini menambahkan lagi jurang ketidaksamarataan dan kemiskinan bandar pada tahap yang serius.

Maka, bagaimana pekerja ini dapat menampung kestabilan hidup di bandar sekiranya pendapatan mereka tidak stabil dan masih rendah? Oleh itu, Belanjawan 2020 perlu menyediakan dasar menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji yang stabil di bandar.

Naik taraf kecekapan pengangkutan awam

Pengangkutan awam disediakan bagi mengurangkan perbelanjaan pengangkutan warga kota. Malangnya, pengangkutan awam di Malaysia masih menjadi pilihan ‘kedua’ warga kota kerana kelemahan perkhidmatan yang sentiasa tergendala dan tidak cekap. Oleh itu, mereka mencari kenderaan alternatif seperti motosikal ke tempat kerja. Mengapa?

Kos menunggang motosikal lebih murah berbanding pengangkutan awam. Penunggang motosikal dianggarkan perlu membayar RM 30 sebulan untuk membayar duit petrol berbanding kos menggunakan pengangkutan awam yang boleh mencecah lebih RM 100 sebulan.

Faktor ini telah menarik pekerja di bandar menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama, ditambah pula dengan bantuan subsidi petrol yang murah dari kerajaan. Bagi mereka, motosikal mampu mengatasi masalah kesesakan lebuh raya, bukan pengangkutan awam.

Trend ini akan menyebabkan jumlah kenderaan di bandar bertambah dan akan meningkatkan kesesakan lalu lintas. Kerajaan pula terpaksa menanggung beban untuk membina jalan raya dan tempat letak kereta berbanding menaik taraf pengangkutan awam di bandar.

Bagi mengatasi masalah ini, bantuan pas bulanan pengangkutan awam, seperti My50, perlu diperluaskan kepada golongan berpendapatan rendah untuk memudahkan pergerakan mereka di bandar.

Kerajaan perlu menaik taraf pengangkutan awam, seperti menambah bilangan bas di bandar utama di Malaysia bagi memudahkan mereka bergerak ke tempat kerja dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan sendiri.

Menyediakan rumah mampu milik di Bandar

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2018 melaporkan migrasi dari bandar ke bandar lebih tinggi, iaitu sebanyak 66.9 peratus berbanding berbanding luar bandar ke bandar, sebanyak 19.8 peratus.

Ramai pekerja di bandar besar seperti Kuala Lumpur kini mencari bandar yang lebih selesa untuk menjalani kehidupan seharian seperti di Nilai, Bangi, dan Kajang akibat harga rumah dan kos sara hidup di bandar yang kian mahal. Walau bagaimanapun, perkara ini amat membebankan mereka kerana terpaksa berbelanja lebih dari segi kos pengangkutan ke tempat kerja.

Kini, unit-unit kosong di bandar seperti rumah kedai dan flat lama dihuni oleh pekerja asing. Berita Harian pada 28 Julai 2019 melaporkan bahawa pendapatan bulanan pekerja asing yang bekerja sebagai tukang baiki pakaian di bandar boleh mencecah sehingga RM5,000.

Maka, tidak hairanlah mereka kini boleh tinggal di sebuah unit kediaman kecil di tengah bandar beramai-ramai meskipun kadar sewa yang mahal. Langkah ini juga telah menjimatkan kos pengangkutan mereka ke tempat kerja yang terletak di sekitar bandar.

Situasi ini dapat dilihat di Kuala Lumpur, apabila kebanyakan pekerja asing tinggal di rumah kedai dan flat di Jalan Pudu dan Bukit Bintang, yang dahulunya dipenuhi pekerja tempatan, kini telah menjadi kediaman utama pekerja asing.

Justeru, belanjawan 2020 harus memberi fokus untuk menyediakan rumah mampu milik di bandar kepada pekerja tempatan berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya anak muda yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan. Usaha ini boleh dicapai dengan kerjasama kerajaan negeri dan tempatan dalam membuat perancangan bandar yang lebih responsif kepada keperluan warga kota.

Belanjawan 2020 perlu memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan bandar di Malaysia sebagai satu persediaan menghadapi cabaran ekonomi dan globalisasi pada masa hadapan. Tetapi, tujuan pokok dalam kesejahteraan bandar ini satu, iaitu memastikan kestabilan hidup rakyat di bandar dan tidak terperangkap dalam bebanan kos sara hidup yang melampau menjelang tahun 2020 mahupun 2030.