SUNGAI SIPUT: Datuk Zuraida Kamaruddin berharap pertemuannya dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada minggu hadapan akan memberi perkhabaran baik buatnya.

Menurut Zuraida, apa yang diharapkan beliau ialah Perdana Menteri akan mengekalkan jawatannya
sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Kata Ahli Parlimen Ampang itu, harapan untuk dikekalkan jawatan dalam Jemaah Menteri ialah demi memastikan kestabilan negara dan Kabinet.


“I hope good news lah (saya harap ada perkhabaran baik iaitu)… kekal jawatan. (Ini kerana jika dikekalkan) mudah untuk saya habiskan program atau perancangan yang telah saya mulakan.

“(Selain itu, dengan keberadaan saya, saya berharap dapat) untuk menstabilkan negara dan juga Kabinet. Jadi dapatlah kita sempurnakan apa yang saya telah dirancangkan agar dapat dilaksanakan,” katanya.

Zuraida berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Di Peringkat Akar Umbi anjuran Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) di sini, pada Ahad.

Zuraida Kamaruddin bergambar kenangan selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Di Peringkat Akar Umbi anjuran Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) di Sungai Siput, Perak pada Ahad. - Gambar Astro AWANI

Pada Khamis, Ismail Sabri dilaporkan berkata, akan mengadakan pertemuan dengan Zuraida pada minggu depan bagi membincangkan kedudukannya sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Pertemuan itu akan diadakan susulan pengumuman Zuraida meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Sebelum itu Zuraida meninggalkan parti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai Bersatu pada 2020.

Dalam pada itu, Zuraida yang juga bakal Presiden (president-designate) PBM optimis parti politik baharu yang disertainya mempunyai peluang yang cerah untuk meraih kerusi di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, landskap politik tanah air ketika ini begitu luas tanpa dapat menonjolkan mana-mana parti yang mampu menjadi dominan.

"Semua yang masuk (parti) baharu ke, lama, tua atau muda, semua ada peluang kerana yang penting bagaimana kita rancang pendekatan politik untuk mendapat sokongan daripada pengundi.

"Di Perak kita juga ada sasaran, tetapi buat masa ini belum diputuskan lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain Zuraida yang juga Pengasas dan Presiden COMWEL berkata, setakat ini pertubuhannya mempunyai 4,000 ahli di seluruh negara.

Selain itu katanya COMWEL turut mempunyai barisan kepimpinan dan jawatankuasa di setiap negeri.