KUALA LUMPUR:Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba diarahkan menjalani pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) sehingga 18 Disember.

Dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis, perintah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas beliau disahkan sebagai kontak rapat kepada satu kes positif COVID-19.

Kes tersebut merupakan seorang petugas media swasta yang hadir ke pejabatnya pada Sabtu dan didapati mengalami simptom COVID-19.

“Sehingga tamat perintah HSO, saya akan bekerja dari rumah termasuk mengadakan mesyuarat dan perbincangan melalui sidang maya,” jelas Dr Adham menerusi Facebook.

Beliau turut menasihatkan bahawa tiada siapa yang terasing daripada mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penyakit itu.

“Sesiapa pun tidak terkecuali dari mematuhi sebarang perintah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa apatah lagi yang melibatkan langkah pencegahan atau rawatan COVID-19.

“Semoga kita semua dapat memainkan peranan dalam menangani dan melawan COVID-19," tambah Dr Adham.

Dr Adham tidak hadir untuk sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 bagi Kementerian Kesihatan Malaysia pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam.

RUU Belanjawan bagi KKM bagaimanapun diluluskan selepas mendapat persetujuan menerusi suara majoriti.

Pada Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif COVID-19.

Beliau merupakan salah seorang pemimpin yang berkempen di Sabah untuk Pilihan Raya Negeri pada 26 September lalu.