KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah tidak bersetuju tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengkritik ahli politik.

Sebaliknya, beliau berkata, sebagai negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, sebarang kritikan boleh diberikan tetapi perlu mengikut kesopanan dan kesusilaan.

"Saya selalu nyatakan kita sebagai pengamal demokrasi harus pandai hidup sebagai seorang demokrat.

"Saya tidak pernah bersetuju tindakan diambil kepada mana-mana pihak yang mengkritik ahli politik... berbeza dengan mengkritik institusi raja atau menimbulkan isu agama dan perkauman itu memang harus sangat berhati- hati.

"Tindakan mungkin perlu diambil, ada waktunya tindakan wajib diambil sekiranya ada gambar, keburukan ditularkan tentang Institusi Raja-Raja Melayu, itu kita tidak akan kompromi," tegas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu lagi dalam sidang media secara dalam talian sempena Sesi Turun Padang Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama CyberSecurity Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan yang diambil ke atas beberapa individu kerana mengkritik ahli politik sejak kebelakangan ini.

Dalam masa sama, Saifuddin mengingatkan ahli politik bahawa kritikan merupakan asam garam dalam dunia politik.

"Saya ingin mengingatkan teman ahli politik, kita terjun dalam politik, kita mungkin ada musuh dan sebahagian rakyat mungkin tidak suka kita dan mengkritik kita.

"Ada kalanya bahasa teruk tapi itu dunia politik, memang kita menyeru apabila kritik (lakukan) dengan bijaksana. Ikut panduan agama, Rukun Negara tentang kesopanan dan kesusilaan namun ia masih kritik politik," jelasnya lagi.