KUALA LUMPUR: Kabinet telah mengarahkan Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 untuk memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing dalam pelbagai lagi sektor, termasuk pembantu rumah.

Pengerusi Menteri Kuartet COVID-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebahagian pengusaha mengalami kesukaran untuk merancakkan semula perniagaan, kerana kekurangan pekerja susulan SOP sedia ada yang agak ketat.

Jelas Menteri Kanan Pertahanan itu lagi, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan telah hadir menjelaskan situasi sebenar, seterusnya mencadangkan pendekatan bersesuaian bagi menangani situasi berkenaan.

“Penting untuk saya tegaskan, di pihak Mesyuarat Kuartet, fokusnya hanyalah terhadap penambahbaikan dari sudut pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan (tempoh kuarantin) dan pasca kuarantin.

“Untuk menentukan jumlah kemasukan pekerja asing, ia bukan di bawah bidang kuasa Mesyuarat Kuartet sebaliknya di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya di Bangunan Parlimen hari ini.

Hishammuddin berkata, SOP baharu tersebut telahpun tersedia dan diselaraskan, namun ia banyak bergantung kepada jumlah kuota yang diluluskan oleh Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

Beliau berkata, penyediaan SOP berkenaan juga sedikit sebanyak terkait dengan penularan varian baharu COVID-19, iaitu Omicron di beberapa negara.