SUBANG JAYA : Menu Rahmah berharga RM5 yang bertujuan membantu golongan B40 akan ditawarkan di lebih 15,000 premis makanan di negara ini bermula Selasa.

Usaha itu selaras dengan usaha kerajaan dalam membantu golongan memerlukan selain memberi manfaat harga yang berpatutan buat golongan itu di restoran.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kecil kerajaan dalam memastikan tiada golongan sasar yang terpinggir.

"Saya harap selepas ini, dapatlah golongan ini membeli makanan dan tidak lagi kelaparan kerana tidak mampu membeli makanan di restoran.

“Kita memang cadangkan RM5 kerana kita anggap harga yang munasabah bila kita kaji tentang harga bahan mentah dan saya pun faham peniaga-peniaga juga berkorban dengan harga itu untuk bantu golongan memerlukan,” katanya selepas melancarkan Menu Rahmah di Pasar Raya Mydin pada Selasa.

Ujarnya, pelaksanaan itu bukan berbentuk secara ‘one off’ sebaliknya manfaat tersebut akan dilaksanakan secara harian untuk membantu golongan sasar khususnya miskin tegar.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai turut menyatakan pelaksanaan itu bukan sahaja melibatkan inisiatif kerajaan bahkan tindakan peniaga yang sudi membantu golongan berpendapatan rendah.

Beliau dalam masa sama turut berpuas hati dengan jumlah kuantiti makanan yang disediakan meskipun harga yang diletakkan adalah sebanyak RM5.

“Apa yang gembirakan saya golongan peniaga tidak kompromi dan memberikan juadah yang ala kadar misalnya saiz ayam dan sebagainya.

“Untuk faedah potongan cukai kita akan cuba bincang dan membantu golongan peniaga selagi mana mereka dapat menjayakan inisiatif ini,” katanya lagi.

Sebelum itu, beliau turut melakukan tinjauan di Pasar Raya Mydin selain turut menumpukan soal bekalan minyak masak dan telur yang dikatakan berdepan dengan masalah kekurangan.