KUALA LUMPUR: Individu yang tidak mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) berkemungkinan akan tertinggal daripada menerima bantuan dan subsidi kerajaan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, walaupun pendaftaran Padu ketika ini masih belum diwajibkan, namun ia digalakkan kepada semua rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, kerajaan masih mempunyai alternatif lain yang boleh digunakan melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai agensi sektor awam.

"Ia termasuk melalui kerajaan negeri dan tempatan, serta agensi syarikat milik kerajaan dan syarikat pelaburan milik kerajaan yang terdapat dalam Padu bagi membentuk data yang komprehensif mengikut individu dan isi rumah,” katanya dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang ingin tahu apakah terdapat alternatif buat individu yang tidak dapat mendaftar di dalam Padu atas pelbagai sebab.

Shafizan juga mahu kerajaan memperincikan apakah terdapat jaminan golongan itu tidak akan ketinggalan daripada mendapatkan kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Hanifah turut memberitahu, Dewan Rakyat bahawa sehingga 12 Mac lalu, Padu telah mengintegrasikan 314 set data pelbagai agensi yang menjadi asas untuk membentuk profil individu yang komprehensif.

"Ini termasuk maklumat 8.6 juta pemohon Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk golongan B40 warganegara Malaysia,” katanya lagi.

Isnin lalu, Menteri Ekonomi berkata, sebanyak 4,752 kawasan di Malaysia belum diliputi pendaftaran Padu dan berisiko keciciran.

Justeru, Rafizi menggesa orang ramai untuk mendaftar dan mengemas kini data di Padu sebelum tarikh akhir 31 Mac 2024 untuk mengelakkan risiko keciciran berterusan.

Menurut data yang dilaporkan Selangor mencatatkan 1,282 kawasan belum diliputi pendaftaran Padu, diikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 992 kawasan, Sarawak 765 kawasan, dan Sabah 620 kawasan.