KUALA LUMPUR: Di sebalik ketegasan politik yang sering dikaitkan suaminya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pula dikenang kerana ketinggian budi pekerti serta tidak pernah menjadikan perbezaan ideologi sebagai tembok pemisah.
Presiden Parti Perkasa Bumiputera Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali mengimbau kenangan, sewaktu beliau hampir ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas desakan Tun Mahathir sewaktu zaman perjuangan pelajarnya di Institut Teknologi MARA (ITM).
Menurut Ibrahim, biarpun beliau antara individu yang dianggap 'paling dibenci' oleh Tun Mahathir ketika itu, layanan diberikan oleh Tun Dr. Siti Hasmah terhadapnya tidak pernah berubah, malah sentiasa penuh dengan kelembutan.
“Sebenarnya saya dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet, yang nak saya ditahan (ISA) ialah Tun Dr. Mahathir sebagai Menteri Pelajaran (ketika itu). Beliau cukup anti dengan tunjuk perasaan pelajar.
“Tetapi Tun Hasmah ini sebagai seorang isteri, pokoknya Allahyarham tidak masuk campur urusan politik. Walaupun saya ‘berperang’ dengan suaminya, beliau melayan semua pihak sama sahaja,” katanya dalam sesi audio siar, The Tiger Show Podcast, pada Khamis.
Tambah Ibrahim, sifat luar biasa Allahyarham terserlah apabila beliau mampu mengekalkan hubungan akrab bersama isteri-isteri pemimpin yang sedang bertentangan arus politik dengan suaminya.
“Sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, Tun Siti tetap mengambil sikap yang begitu akrab dengan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
"Sama juga sewaktu Tun Mahathir kuat mengkritik Datuk Seri Najib Razak, Tun Siti tetap akrab dengan Datin Seri Rosmah Mansor. Ini beza Allahyarham dengan wanita pertama yang lain,” ujarnya.
Menceritakan detik cemas malam sebelum pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998, Ibrahim berkata Tun Dr. Siti Hasmah merupakan individu yang membenarkan beliau masuk ke kediaman rasmi mereka tanpa temu janji.
“Saya pergi ke rumah Tun Mahathir dekat waktu Maghrib tanpa 'appointment' untuk bawa mesej daripada Anwar Ibrahim.
"Tun Hasmah yang jawab panggilan saya di telefon dan beliau sendiri yang beri saya masuk untuk berjumpa Tun Mahathir. Beliau tidak pernah ada prejudis,” jelasnya lagi.
Bagi Ibrahim, perwatakan sederhana dan sifat keibuan yang dimiliki Allahyarham selama 22 tahun menjadi 'Wanita Pertama' adalah satu legasi yang sukar dicari ganti dalam sejarah kepimpinan negara.
Beliau menyifatkan Allahyarham bukan sekadar isteri pemimpin, tetapi merupakan 'Ibu Misali Negara' yang berjaya menjadi penstabil kepada gejolak politik suaminya melalui diplomasi budi dan nilai kemanusiaan yang tinggi.