KUALA LUMPUR: Anugerah Merdeka Award Trust (MAT) terus mengangkat rakyat Malaysia ke peringkat lebih tinggi dengan memberi pengiktirafan kepada individu serta organisasi cemerlang menerusi hasil kerja selain pencapaian mereka yang menyumbang kepada pertumbuhan negara.

MAT ditubuhkan oleh Petronas dan Shell dalam menawarkan dua program iaitu Anugerah Merdeka dan Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa.

Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah Merdeka Award Trust, Kerina Fauzi berkata, kedua-dua program tersebut kini dilaksanakan secara dwitahunan dan tumpuan MAT pada tahun ini adalah kepada penganugerahan geran.

“Program Geran Anugerah Merdeka kini memasuki edisi ke-9 dan setakat hari ini kita telah menganugerahkan geran kepada 24 individu dan pada tahun ini MAT akan mengumumkan penerima baharu pada 25 Ogos ini.

“Seperti kita tahu, geran berkenaan diperkenalkan pada tahun 2012 bagi memupuk generasi muda yang mampan selain menyokong kepada perjalanan kecemerlangan pendidikan mereka,” ujarnya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sesi Merdeka Award Talk Series di sini pada Rabu.

Menerusi geran diberikan, ia menyediakan penerima dengan peluang untuk belajar dan berkembang dalam tempoh tiga bulan di mana-mana penempatan institusi antarabangsa pilihan mereka.

Peluang tersebut membolehkan mereka meluaskan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian bersama pakar-pakar terkemuka antarabangsa dalam bidang masing-masing.

MAT 2023: Terus mengangkat & iktiraf individu, organisasi cemerlang

Episod pertama Merdeka Award Talk Series yang mengangkat perspektif perbincangan berkaitan ‘Reform, Reset and Repurpose: Education For All’ itu turut melibatkan penerima anugerah Merdeka Award Trust 2022, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Samuel Isaiah sebagai penceramah.

Dalam pada itu, menurut Kerina, sesi pertama bagi Merdeka Award Talk Series yang berlangsung pada Rabu bertujuan untuk mengetengahkan perbincangan intelektual dan menggalakkan perkongsian pengetahuan serta perspektif dalam kalangan pemain terlibat.

“Kita berbangga pada hari ini dengan kehadiran Prof. Adeeba bersama perkongsian dan buah pandangannya dalam bidang kepakaran beliau.

“Sebagai pakar perubatan terkenal menerusi kajiannya mengenai penyakit HIV/AIDS, beliau turut kini dilantik sebagai Presiden dan Timbalan Pro Canselor Monash University Australia (Malaysia) dan Ketua Pegawai Eksekutif Monash University.

“Kita juga dapat mendengar perkongsian daripada Cikgu Sam yang merupakan pendidik yang sangat berdedikasi juga menerima anugerah atas sumbangan meningkat dan memartabatkan taraf pendidikan dalam kalangan anak orang asli selain melatih guru untuk meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhan,” jelasnya.

MAT bakal menganjurkan episod kedua Merdeka Award Talk Series dengan perbincangan menjurus kepada ‘Fostering A Culture of Excellence: We’re Giving What It Takes!’, yang mana salah seorang penceramahnya adalah Datuk Nicol David.

MAT merupakan antara salah satu anugerah paling berprestij di Malaysia yang memberi penghormatan kepada kerja-kerja dan pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai arena termasuk Pendidikan dan Komuniti, Alam Sekitar, Kesihatan, Sains dan Teknologi serta Pencapaian Luar Biasa Rakyat Malaysia.

Saksikan video penuh Merdeka Award Talk Series yang pertama bermula 21 hingga 28 Ogos ini di laman sosial rasmi Facebook dan YouTube Merdeka Award Talk serta Astro AWANI.