Sejak 31 Ogos 1957, saban tahun kita semua tanpa mengira usia akan meraikan kedatangan tarikh yang penuh makna itu sebagai tanda kita bebas dari penjajahan.
Namun apakah merdeka itu hanya bermaksud bebas dari penjajahan oleh satu kuasa asing ke atas sebuah negara atau pemerintahan?
Tentunya, kata merdeka itu mempunyai makna yang luas dan setiap orang mempunyai definisi tersendiri tentangnya dan tidak hanya 31 Ogos semata-mata.
Bagi seniman Khalid Salleh, sebelum 31 Ogos 1957 lagi rakyat negara ini sudah merdeka kerana bebas menyuarakan pendapat tentang hak mereka.
"Kemerdekaan itu tidak terikat kepada 31 Ogos itu, ia hanya satu tarikh, tapi jauh sebelum itu, rakyat negara ini sudah merdeka menyuarakan pendapatnya atau haknya, contohnya seperti ketika nak ditubuhkan Malayan Union," kata pelakon yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ini.
Bagi penyanyi kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau Tam, merdeka sepatutnya melebihi dari merayakannya pada tarikh tersebut.
"Merdeka bukan pasal nak celebrate, merdeka ini lebih kepada individu itu kena rasa merdeka betul-betul dan tahu nak guna kemerdekaan itu," jelas Tam.
Manakala bagi pelakon Fauziah Nawi, merdeka yang bermaksud bebas itu perlu dirayakan setiap hari dan tidak seharusnya terikat dengan satu tarikh semata-mata.
"Tidak cukup hanya 31 Ogos sahaja, kita harus meraikan kebebasan itu setiap hari, dan menikmati kebebasan itu setiap hari dengan lebih baik," kata pelakon dan pengarah teater ini ketika mengulas tentang kemerdekaan.
Sementara dua Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan Datuk Baha Zain pula mempunyai pandangan tersendiri tentang merdeka.
Samad yang hidup ketika zaman British dan Jepun menjelaskan, beliau mengkhayalkan kemerdekaan itu sebagai ruang yang lebih murni dan lebih berkemungkinan untuk membentuk hidup.
"Kemerdekaan memberikan kita ruang yang lebih murni dan lebih berkemungkinan untuk menentukan hidup bangsa kita sendiri," kata Sasterawan yang juga aktif sebagai pelukis.
Manakala Baha pula berpendapat, merdeka memberi makna kita bebas memikul amanah bagi kepentingan kita sebagai satu bangsa.
Bagi komposer, Aidit Alfian, merdeka bermaksud manusia itu perlu memahami apa maksud merdeka dan perlu kembali kepada fitrahnya.
"Merdeka seseorang itu apabila ia bebas seperti burung yang bebas dari sangkar, manusia perlu kembali kepada fitrahnya.
"31 Ogos adalah kemerdekaan negara, pada saya kena kembali kepada fitrah, kena faham apa maksud merdeka, sebagai manusia ada pemimpin jadi perlu patuh kepada pemimpin," jelas beliau.
Sementara penulis lirik, Ad Samad pula berpandangan, manusia yang merdeka antaranya ialah mereka yang mempunyai kebolehan memiliki fikiran sendiri dan berani menyoal segalanya.
"Kemerdekaan ada dua, satu ialah kemerdekaan fikiran, iaitu kebolehan memiliki fikiran sendiri dan keberanian menyoal segalanya," katanya.
Penulis lirik dan pelukis terkenal, S.Amin Shahab pula berpendapat, negara sudah diketahui bebas dari penjajah tetapi rakyatnya masih belum pasti benar-benar merdeka jiwanya.
"Merdeka itu maknanya bebas, bebas dari apa kita nak tahu, Malaysia sudah merdeka, itu kita tahu, sama ada jiwa kita merdeka atau tidak kita tak tahu, sama ada kita benar-benar merdeka atau tidak, kita tidak tahu," jelas beliau.
Bagi penyair tersohor, Pyanhabib, merdeka bukan hanya sekadar kibar bendera tetapi ia perlu difahami maksudnya dengan lebih mendalam.
"Sudah 57 tahun merdeka, tiap-tiap tahun kita asyik kibar bendera sahaja, takkan lah merdeka hanya untuk kibar bendera sahaja, kalau elit atasan sudah merdeka itu ini, orang bawahan juga mahu merdeka. Semua rakyat mahu hidup merdeka, termasuk seniman, mahu sedikit kebebasan untuk bersuara, kalau mengkritik bukan bererti tidak sayang," jelas beliau.