Mesej utama Global Sumud Flotilla: Buka koridor kemanusiaan – Razali Awang

Sebahagian kapal yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF). - foto/REUTERS
KUALA LUMPUR: Pelayaran ke Gaza bukan semata-mata membawa mesej dakwah, bahkan turut membawa mesej kemanusiaan.
Ringkasan AI
- Aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) Razali Awang menegaskan pelayaran ke Gaza bukan misi dakwah tetapi misi kemanusiaan sejagat untuk membebaskan Gaza.
- Beliau berkata isu Gaza perlu dilihat sebagai isu kemanusiaan global dan bukan semata-mata isu agama, dengan GSF berjaya membuka mata masyarakat antarabangsa.
- Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk 23 rakyat Malaysia, yang ditahan tentera Israel pada 2 Okt sebelum dibebaskan hasil usaha Perdana Menteri dan kerajaan Turkiye.
“Kita bawa bersama isu Gaza sebagai isu sejagat. Pemahaman yang kita sampai kepada masyarakat dunia adalah ia bukan misi dakwah. Ini misi kemanusiaan. Hanya kemanusiaan yang boleh bebaskan bumi Gaza.
“Kita boleh suarakan lebih jauh. Kita fahamkan. Sesetengah masyarakat terikat, isu Gaza ialah isu agama. Lebih 80 peratus yang ada di tengah lautan bertatu, bersubang bawa mesej yang jelas, ini isu kita bersama.
“Kalau Gaza gagal, kemanusiaan akan mati. Naratif itu yang saya cuba bawa. Ini misi ke-38 yang telah mengorbankan tidak sedikit nyawa. GSF ini telah berjaya buka mata masyarakat antrabangsa,” katanya.
Beliau berkongsi pengalaman pelayaran GSF yang disertainya bersama 23 aktivis Malaysia yang lain dalam program Buletin AWANI Khas pada Khamis.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Namun, nasib tidak menyebelahi kesemua aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia apabila ditahan tentera rejim Zionis pada 2 Okt, selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan zon merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
Bagaimanapun, semua aktivis Malaysia berjaya dibawa keluar dari Israel pada 4 Okt hasil usaha keras Perdana Menteri serta bantuan kerajaan Turkiye.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami