Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank di Simpang Kuala, di sini diletupkan perompak sebelum wang tunai dianggarkan lebih RM300,000 dilarikan.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 pagi tadi itu dipercayai didalangi sekumpulan lelaki bertopeng berdasarkan rakaman awal kamera litar tertutup (CCTV) di luar bank berkenaan.

Perompak terbabit kemudian bertindak menyembur cat pada CCTV di luar bank bagi mengelak kegiatan mereka dirakam.

Kesan letupan, dipercayai daripada sejenis bom paip buatan sendiri, telah menyebabkan mesin tersebut pecah dengan sebahagian not RM50 di dalamnya bertaburan di tempat kejadian.

Tiada kecederaan dilaporkan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian dan sedang memburu penjenayah terbabit.

Beliau percaya kesemua suspek masih berada di negeri ini dan mengesahkan belum ada tangkapan dibuat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan di premis bank.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran agar kesemua penjenayah terbabit dapat diberkas.