Kebanyakan peruncit yang memperoleh jualan tahunan melebihi RM500,000 di negeri ini didapati masih liat untuk mengembalikan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada kerajaan, meskipun telah mengutip cukai itu daripada pelanggan.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Jaafar Mat Jawi berkata perkara itu dikesan sewaktu pihaknya melakukan operasi Strategi Lautan Biro Kastam (Ops CBOS) di seluruh negeri susulan pelaksanaan CBP.

Bagaimanapun, tiada statistik sebenar diberikan kepada media berhubung perkara terbabit.

Menurut Jaafar, sejak dilaksanakan pada 1 Sept, Ops itu turut mengesan satu lagi kesalahan umum iaitu kelewatan peniaga menghantar penyata pulangan GST daripada tempoh yang ditetapkan.

"Saya rasa sedikit kecewa kerana mereka telah mengutip dan mengambil GST itu tetapi tidak mengembalikan duit itu yang sepatutnya dipunyai kerajaan.

"Mereka guna bermacam-macam alasan antaranya tidak cukup kakitangan dan pegawai.

Tetapi, dari segi perundangan, kita tidak bolehlah terima (alasan) kerana itu duit kerajaan, bukan duit dia (peniaga)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Peraduan Jom Minta Resit GST-Siri ketiga, di sini hari ini.

Jaafar berkata kelewatan menghantar penyata dan tidak mengembalikan kutipan GST adalah kesalahan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang masing-masing boleh dikenakan kompaun RM5,000 serta diheret ke mahkamah.

Kata Jaafar, beliau sudah mengarahkan sejumlah pegawai agar menggunakan pendekatan yang lebih mesra apabila turun bertemu dengan peniaga agar mereka tergerak untuk menerima peraturan itu.

Berhubung peraduan Jom Minta Resit yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 Sept lalu itu, Jaafar berkata sebanyak 23,038 resit telah diterima daripada 1,219 peserta di negeri ini.

Daripada sejumlah penyertaan itu, 278 orang telah dipilih sebagai pemenang untuk membawa pulang hadiah seperti telefon bimbit Samsung Galaxy Note 5, peti sejuk, televisyen LCD berukuran 40 inci, mesin pengisar, periuk nasi, baucar wang tunai, dapur elektrik dan lain-lain. --BERNAMA