PASIR PUTEH: Seorang pemandu mesin pengorek berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki itu terbakar secara tiba-tiba dalam kejadian di Kampung Buluh Duri, Selising di sini pada Selasa.

Kejadian berlaku jam 11.45 pagi itu ketika mangsa berusia 34 tahun sedang melakukan kerja-kerja mengambil tanah di kawasan bukit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, semasa melakukan kerja tersebut bahagian enjin jentera berat itu telah terbakar.

"Pemandu itu bertindak pantas dengan turun dari jentera berat tersebut dan membuat pemadaman api menggunakan tanah bagi mengelakkan ia daripada merebak," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum itu video kebakaran mesin pengorek tersebut tular di aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, jumlah dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian