KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Eropah (EC), Indonesia dan Malaysia telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas bersama untuk mengukuhkan kerjasama mengenai pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR), yang akan mengadakan mesyuarat sulungnya menjelang minggu pertama Ogos 2023.

Indonesia dan Malaysia sepakat bahawa pasukan petugas bersama EC akan menumpukan kepada komoditi berkaitan minyak sawit, kayu, getah, kopi serta koko, kata Majlis Negara-Negara Pengeluar Sawit (CPOPC) dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Pasukan petugas bersama itu terdiri daripada wakil kerajaan serta pihak berkepentingan dari kedua-dua negara termasuk persatuan komoditi, pekebun kecil, persatuan pekerja dan pertubuhan masyarakat sivil bagi meningkatkan dialog mengenai kebolehkesanan serta ketelusan rantaian bekalan.

Perkara-perkara tersebut mampu ditangani berdasarkan pendekatan khusus negara secara inklusif dan telus di bawah kerangka pasukan petugas bersama.

Katanya lagi, pasukan petugas bersama itu akan mengkaji keadaan komoditi yang berkaitan di Indonesia dan Malaysia dalam skop EUDR untuk pasaran EU.

"Ketiga-tiga rakan kongsi akan menetapkan akses tunggal serta mengadakan perbincangan dan memuktamadkan terma rujukan pasukan petugas bersama.

"Mengenai minyak sawit, Sekretariat CPOPC akan membuat penyelarasan dengan pegawai masing-masing di Indonesia dan Malaysia, bersama-sama dengan Direktorat Jeneral bagi Alam Sekitar Suruhanjaya Eropah dalam memastikan kemajuan pasukan petugas bersama bagi mencapai hasil yang diinginkan termasuk penyelesaian yang saksama untuk kejayaan pelaksanaan peraturan oleh semua pihak, " kata kenyataan itu.

Pasukan petugas khas itu adalah hasil daripada misi bersama yang diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Republik Indonesia, Airlangga Hartarto.

Melalui sokongan CPOPC, ia dilaksanakan untuk pertemuan dengan pemimpin politik EU di Brussels pada akhir bulan lepas.

Dalam mesyuarat tersebut, kedua-dua menteri menyatakan kebimbangan dengan EUDR yang baharu digubal. Mereka mengulangi kepentingan komoditi terutamanya minyak sawit, kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negara, khususnya terhadap pekebun kecil.

EC menggariskan bahawa dasarnya merupakan reaksi terhadap komitmen antarabangsa bersama. Objektif utama adalah untuk memastikan bahawa Eropah tidak akan memacu penebangan hutan global melalui penggunaannya sendiri.

Selain itu, EU memberi jaminan kepada negara pengeluar bahawa mereka akan terus terlibat semasa proses berkenaan.

Naib Presiden Eksekutif untuk Perjanjian Hijau Eropah, Frans Timmermans serta Pesuruhjaya Alam Sekitar, Laut dan Perikanan, Virginijus Sinkevicius bersetuju dengan penubuhan proses penglibatan perundingan dengan kedua-dua Indonesia dan Malaysia untuk membincangkan kaedah termasuk cara praktikal pelaksanaan EUDR.

Sebagai susulan kepada misi bersama itu, Ketua Pengarah Alam Sekitar Suruhanjaya Eropah, Dr Florika Fink-Hooijer telah melawat Indonesia dan Malaysia.

Beliau bertemu dengan Timbalan Menteri Makanan dan Agrimakanan, Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Indonesia, Musdhalifah Mahmud termasuk wakil kerajaan Indonesia pada 27 Jun lepas dan Fadillah serta wakil kerajaan Malaysia pada 28 Jun.

Mesyuarat itu membuahkan kesepakatan bagi penubuhan pasukan petugas bersama. - BERNAMA