Mesyuarat Jawatankuasa Ekonomi Khas (JKE) hari ini berkisar isu semasa membabitkan nilai ringgit, mengekalkan kestabilan pasaran kewangan, mengukuhkan keyakinan dalam pasaran modal dan kesan terhadap masyarakat umum.

Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga pengerusi JKE, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, taklimat secara komprehensif dibentangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) dan Suruhanjaya Sekuriti.

"Hari ini saya menerima taklimat komprehensif daripada badan-badan berkaitan JKE dan antara isi utama mesyuarat hari ini adalah usaha membangunkan pelan perancangan ekonomi negara.

"Mesyuarat hari ini juga turut menyentuh isu semasa nilai ringgit bagaimana untuk mengukuh keyakinan dan kesan isu semasa ekonomi dengan keadaan semasa," katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKE di sini.

Semasa pelancaran JKE pada 26 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhannya antaranya termasuk memantau isu-isu semasa seperti nilai ringgit, mengekalkan kestabilan pasaran kewangan serta mengukuhkan keyakinan dalam pasaran modal.

Selain Abdul Wahid, antara individu lain yang menganggotai JKE terdiri daripada Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak.

JKE diurusetiakan oleh Sekretariat di EPU dengan Timbalan Ketua Pengarah EPU Datuk K.Yogeesvaran dilantik sebagai ketua sekretariat.


Selain individu, JKE juga disertai bersama oleh beberapa pegawai tertinggi Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Suruhanjaya Sekuriti, Pejabat Perdana Menteri dan Unit Perancang Ekonomi.

Penubuhan JKE difahamkan turut terhad sehingga kemelut ekonomi global reda dan keadaan kembali stabil.

Dalam pada itu kata Abdul Wahid, mesyuarat juga berkisar tentang usaha memperkukuhkan nilai ringgit dan ini dapat dilakukan berdasarkan asas ekonomi selain bakal dilaksana dengan dasar pasaran semasa.

Bagaimanapun kata Abdul Wahid, langkah itu dilihat lebih menarik dan disemak semula pada mesyuarat kedua Jumaat ini.

"Langkah itu akan dipraktikkan jika bersesuaian akan diumum Perdana Menteri sendiri kelak.

"Beberapa isu berbangkit turut dibincangkan namun sekarang bukan masa sesuai untuk memperkenalkan serta merta perkara berkenaan," ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata JKE diharap dapat mengemukakan langkah khusus bagi membantu usahawan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran ekonomi seperti penurunan nilai ringgit.

Jelasnya, setakat ini usahawan PKS masih mampu bertahan walaupun penurunan nilai ringgit memberi sedikit tekanan kepada operasi mereka.