KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memantau kejadian gempa bumi di Sabah secara berterusan menerusi 28 stesen seismik di seluruh negeri itu.
Ketua Pengarah MetMalaysia Mohd Hisham Mohd Anip berkata pemantauan selama 24 jam itu membolehkan pihaknya mengesan dan menganalisis kejadian gempa bumi dengan pantas.
Beliau berkata antara stesen seismik yang berhampiran dengan lokasi kejadian ialah Sapulut, 57.23 kilometer (km), Keningau (66.51 km), Sandakan/Telupid (74.36 km), Matupang (76.67 km) dan Tenom (93.32 km).
“MetMalaysia berupaya mengesan dan menganalisis kejadian gempa bumi dengan pantas. Maklumat gempa akan disalurkan dalam tempoh enam minit selepas dikesan, tertakluk kepada kesediaan data. Sehingga kini masih belum ada teknologi yang mampu meramal kejadian gempa bumi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia susulan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 yang berlaku di Kuamut, Kinabatangan, pada 5.32 pagi semalam.
Mohd Hisham berkata gempa bumi tidak boleh diramal dari segi masa, lokasi dan magnitud sebelum berlaku, manakala stesen seismik berfungsi mengesan serta menentukan magnitud gempa bumi selepas kejadian berlaku.
Beliau berkata ancaman tsunami pula boleh dinilai berdasarkan magnitud gempa bumi dan data pemantauan berkaitan.
“Sekiranya terdapat potensi ancaman tsunami, MetMalaysia akan mengeluarkan maklumat serta amaran yang berkaitan,” katanya.
Menurutnya, pemasangan stesen atau sensor seismik tambahan di sesuatu lokasi boleh memperkukuh liputan dan keupayaan pemantauan setempat, namun ia tidak bermaksud gempa bumi dapat diramal lebih awal.
“MetMalaysia akan terus memantau aktiviti seismik di Sabah dan menyalurkan maklumat yang pantas, tepat serta sahih kepada orang awam dan agensi berkaitan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat berkaitan gempa bumi dan tsunami hanya melalui saluran rasmi MetMalaysia.
-- BERNAMA