Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengambil tindakan tegas bagi membolehkan pasukan penyiasat memasuki lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"PBB tidak boleh lagi hanya gunakan resolusi (akses bebas) yang telah diluluskan, tetapi tindakan tidak ada.

"Kita rasa ini tidak boleh terus berlarutan dan sesuatu tindakan perlu diambil untuk memasuki kawasan itu," katanya.

Beliau berkata kerajaan Malaysia berasa amat hampa dan marah kerana walaupun PBB sudah meluluskan resolusi untuk pasukan penyiasat memasuki kawasan itu namun sehingga kini, mereka masih tidak dapat berbuat demikian.

"Sudah tiba masanya PBB perlu mengambil tindakan tegas dan dunia tidak boleh berdiam lagi kerana kita perlu menegakkan keadilan dan kebenaran siapa yang menembak MH17," katanya kepada pemberita di majlis makan malam bersempena ulang tahun ke-65 MCA di sini hari ini.

Liow berkata PBB perlu bertindak pantas bagi membolehkan akses ke lokasi nahas kerana ini adalah peluang terakhir bagi mengeluarkan mayat dan bangkai pesawat untuk siasatan lanjut sebelum musim sejuk.

Pasukan penyiasat MH17 belum berjaya memasuki lokasi nahas yang terletak di rantau bergolak kerana kerajaan Ukraine tidak dapat menjamin satu koridor selamat untuk mereka.

Pesawat MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal ditembak jatuh pada 17 Julai lepas di wilayah Donetsk, bahagian timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.