‘Harapan’ merupakan perkataan yang digunakan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semasa sidang media khas pada Sabtu, 15 hari selepas pesawat MH370 dilaporkan hilang.

“Selagi ada harapan bahawa mereka masih hidup, kita akan meneruskan usaha untuk mencari pesawat tersebut,” katanya semasa ditanya pemberita berapa lama lagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Selatan Lautan Hindi akan diteruskan.

“Ketika ini kita masih lagi meneruskan usaha mencari kerana ini masih menjadi harapan semua pihak terutama ahli keluarga,” tambahnya.

Katanya, dengan bantuan yang dihulurkan oleh semua negara yang terlibat dalam operasi SAR serta aset dan kelengkapan yang dihantar mereka, ini memberi beliau harapan bahawa misteri yang menyelubungi kehilangan pesawat MH370 pasti akan terungkai.

“Saya tidak akan berputus harapan dan akan meneruskan seperti ini adalah hari pertama dan saya merasa lebih bersemangat dengan bantuan dan sokongan yang sentiasa diberikan oleh semua negara yang terlibat,” kata Hishammuddin.

Pesawat B777-200 MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan hilang daripada radar tidak sampai sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi, 8 Mac lepas.