Dalam tempoh kurang daripada dua bulan mulai sekarang, tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 akan genap setahun, namun kejadian itu terus menjadi misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.
Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk ditemui dan pelbagai persoalan terus diungkapkan.
Persoalan yang terus bermain diminda semua pihak; Apa sebenarnya yang terjadi? Di manakah sebenarnya pesawat itu? Bagaimanakah nasib anak kapal dan penumpang di dalam pesawat itu?
Adakah lokasi pencarian itu tepat? Adakah aset pencarian tidak canggih sehingga sukar mendapatkan sebarang petunjuk? Sampai bilakah operasi mencari perlu dilakukan?
Malah ada juga yang bertanya; Apa tindakan seterusnya jika pesawat diisytihar hilang? Adakah solat ghaib boleh dilakukan jika tiada sebarang kelibat ditemukan? Bagaimana dengan pampasan kepada waris keluarga dan siapa yang akan menanggung kos keseluruhan operasi?
Kesemua soalan ini diajukan Bernama kepada pakar penerbangan, bekas kapten kapal terbang, ahli akademik dan pakar agama bagi merungkai misteri kehilangan pesawat ini yang masih lagi belum terjawab sehingga kini.
Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua bayi itu, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Mengulas lanjut mengenai operasi mencari dan kawasan pencarian, seorang pakar penerbangan, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata saiz sebuah pesawat B777 adalah sekitar 4,500 meter persegi, sementara luas kawasan pencarian adalah sekitar 59,600 kilometer persegi.
"Ini bermakna saiz pesawat tersebut hanyalah 0.078 peratus keluasan kawasan pencarian. Sedangkan pesawat AirAsia QZ8501 jatuh pada kedalaman hanya 30m iaitu 0.5 peratus kedalaman pesawat MH370.
"Itu pun telah mengambil masa dua minggu untuk menjumpai bahagian ekor pesawat QZ8501 dengan banyak petunjuk seperti serpihan dan mayat yang terapung," katanya yang membandingkan operasi mencari MH370 dengan pesawat AirAsia QZ8501.
Pesawat Airbus yang membawa 162 orang termasuk tujuh anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada 28 Dis semasa dalam penerbangan ke Singapura dari Surabaya, Indonesia. Pesawat malang itu terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, Indonesia.
Abdul Rahmat, bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia menjelaskan, pencarian untuk MH370 bukanlah satu pencarian yang mudah dan mencadangkan agar kapal dan peralatan ditambah bagi memperkuat operasi pencarian pesawat Boeing yang ke-404 dibina itu.
Memetik laporan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), yang menerajui operasi itu, beliau berkata kawasan pencarian MH370 bertumpu di kawasan lebih jauh ke selatan iaitu kawasan terpencil dikenali sebagai 'lengkungan ketujuh' di lautan tersebut.
Ia ditetapkan selepas memperhalusi data komunikasi satelit dan maklumat panggilan telefon selama 17 minit dari darat ke udara yang tidak dijawab selepas maklumat terakhir diterima daripada radar.
Senada dengan Abdul Rahmat adalah Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian yang berpendapat lokasi pencarian adalah tepat kerana ia berdasarkan analisis terperinci akan isyarat 'ping' yang berasal dari pesawat itu yang mana setiap ping mempunyai "pengenalan" nya yang tersendiri dan pengenalan ping ini menunjukkan yang ia memang berasal dari MH370.
"Lokasi di selatan Lautan Hindi yang di "tunjukkan" oleh Inmarsat dikukuhkan lagi oleh radar yang mengatakan pesawat MH370 telah bergerak ke laut Andaman. Pencarian telah dilakukan dengan menggunakan aset yang mencukupi dan canggih.
"Cuma lokasi pencarian telah dikenal pasti lebih kurang seminggu selepas pesawat itu dilaporkan hilang. Dalam tempoh seminggu ini, serpihan atau pesawat tersebut mungkin telah dibawa arus ke lokasi-lokasi lain mengikut pola arah ombak dan angin. Inilah yang menyukarkan pencarian serpihan dan pesawat tersebut," katanya.
Mohd Harridon yang juga ketua Penyelidikan dan Inovasi Pesawat Universti Kuala Lumpur (UniKL) itu menjelaskan satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian ialah kebanyakan serpihan ini diperbuat daripada bahan metalik yang mudah tenggelam, jadi pencarian adalah lebih kepada pencarian dasar laut dan ini mengambil masa yang agak lama.
Menurutnya ini kerana dasar laut di selatan Lautan Hindi mempunyai lurah dan bukit bukau yang menindaskan lagi operasi pencarian dan disebabkan kawasan dasar laut ini belum lagi dipetakan, ia menyukarkan lagi pencarian.
Sehubungan itu, Mohd Harridon mencadangkan kaedah matematik digunakan untuk menambahkan lagi keberkesanan pencarian.
"Kaedah yang saya cadangkan ialah kaedah kebarangkalian iaitu "Bayesian Inference" di mana kaedah ini akan mengambil kira beberapa kebarangkalian dan kaedah ini akan mengambil kira pola angin, ombak, beberapa orientasi pesawat ini mungkin menjunam ke laut, berat pesawat berdasarkan minyak yang digunakan, dan lain-lain lagi.
"Dengan kaedah ini segala maklumat dan data akan diguna pakai dan kemungkinan ini akan mengecilkan lagi radius pencarian," kata Mohd Harridon.
Mengenai persoalan apabila kerajaan dan pasukan pencari telah mengisytiharkan pesawat itu hilang, beliau berkata mengikut undang-undang antarabangsa, satu penyiasatan menyeluruh akan diadakan.
"Jika pesawat diisytiharkan hilang, tindakan seterusnya, mengikut undang-undang ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) Lampiran 13, adalah untuk membuat satu penyiasatan rasmi melibatkan pihak-pihak yang berkenaan.
"Antaranya ialah pemilik pesawat, negara di mana pesawat didaftarkan, pendaftaran, jabatan penerbangan di negara di mana pesawat didaftarkan, negara-negara asal penumpang, dan pengeluar pesawat akan bekerjasama di dalam penyiasatan tersebut.
"Daripada hasil penyiasatan tersebut, satu laporan komprehensif akan dijana mengikut standard dan format yang ditetapkan dalam Lampiran 13," tambahnya.
Mengulas mengenai pampasan, Mohd Harridon berkata secara lazimnya, syarikat yang memiliki pesawat itu akan memberi pampasan kepada ahli keluarga.
Mohd Harridon menarik perhatian, jikalau penumpang ada mengambil insurans penerbangan, maka syarikat insurans itu akan memberi pampasan juga.
Kos operasi pencarian pula adalah berdasarkan persetujuan bersama di mana pihak Malaysia, Australia dan China telah bersetuju untuk menyumbangkan aset dan kakitangan untuk proses pencarian, katanya.
Dilaporkan, kerja mencari di dasar laut itu kini meliputi kira-kira 30 peratus daripada 60,000 kilometer persegi kawasan pencarian dan kira-kira 208,000 kilometer persegi lautan telah dipetakan.
Jika tiada halangan dan kelewatan, keseluruhan operasi pencarian dijangka selesai pada Mei ini.
Empat kapal kini terlibat dalam misi mencari pesawat malang tersebut iaitu Go Phoenix, Fugro Discovery, Fugro Equator dan terbaru Fugro Supporter yang dilengkapi kenderaan dasar laut (AUV).
"AUV akan digunakan bagi mengimbas bahagian kawasan pencarian yang tidak boleh diusahakan dengan berkesan menggunakan peralatan dalam kapal-kapal pencarian yang lain," kata ATSB pada Rabu.
Kapal Fugro Equator, Discovery dan Supporter telah disediakan syarikat Belanda, Fugro dan dibiayai bersama-sama kerajaan Australia dan Malaysia, manakala GO Phoenix menerima kontrak daripada kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Mohd Ajib Ismail berkata solat ghaib boleh dilakukan jika tiada jenazah sampai kepada ahli dan waris keluarga.
"Mereka perlu tunggu pengisytiharan dahulu. Kemudian bolehlah solat ghaib dilakukan sama ada di kalangan mereka atau seluruh negara secara besar-besaran. Terpulang kepada kehendak masing-masing, katanya.
Katanya dari sudut pandangan agama, tidak berbangkit soal upacara pengebumian atau mengadakan kubur untuk anak kapal dan penumpang pesawat itu memandangkan tiada jenazah atau mayat ditemukan.
Selain solat ghaib, ahli dan waris keluarga dinasihatkan supaya sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan pelbagai ibadah dan pada masa yang sama berlapang dada serta reda menerima ketentuan ini.
Bernama
Thu Jan 29 2015
Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk ditemui dan pelbagai persoalan terus diungkapkan berhubung kehilangan pesawat MH370 - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Tiga kilang perabot, kotak di Bandar Puncak Alam terbakar
Tiga premis dipercayai kilang perabot dan kotak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan terbakar malam ini.
Tumpuan Ahad – 15 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, pada Sabtu.
BN dan UMNO tetap rakan setia politik dengan PH
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu akan kekal setia sebagai rakan politik bersama Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jelas beliau, BN dan juga UMNO juga tidak akan termakan dengan ajakan serta pujukan daripada mana-mana pihak untuk meninggalkan gabungan sedia ada.
Saya dinasihatkan kekal sebagai MB Selangor - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan, termasuk merangka Rancangan Selangor Kedua yang dijangka siap pada 2026.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 14 Disember 2024.
10 Berita Pilihan - (14 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, hari ini.
Checkmate! remaja tewaskan juara bertahan dari China
Seorang remaja berusia 18 tahun dari India, Gukesh Dommaraju dinobatkan juara dunia catur termuda selepas menundukkan lawannya dari China yang juga juara bertahan, Ding Liren. Dommaraju menewaskan Liren dalam satu perlawanan dramatik yang berlansung di Singapura.
Saya dinasihat kekal sebagai MB sehingga akhir penggal - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan.
MH370 terus menjadi misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia
Persoalan yang terus bermain diminda semua pihak; Apa sebenarnya yang terjadi kepada pesawat MH370? Di manakah sebenarnya pesawat itu?
MH17: Abbott tidak jadi berkonfrontasi dengan Putin, pilih diplomasi
Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri Australia mendesak siasatan keatas nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH17 dilakukan dengan segera.
Najib gesa Putin bantu buka laluan ke kawasan nahas MH17
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Presiden Rusia Vladimir Putin untuk membantu memberi akses sepenuhnya ke kawasan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17.