Siasatan ke atas semua penumpang dan anak kapal pesawat penerbangan MH370 masih diteruskan dan belum ada mana-mana di kalangan mereka yang telah dibersihkan daripada siasatan, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, siasatan yang menyentuh kemungkinan rampasan, keganasan, latar belakang psikologi dan peribadi melibatkan semua mereka yang berada dalam pesawat itu masih berjalan.

“Saya tidak rasa sesiapa (penumpang dan anak kapal) telah dilepaskan dari sebarang siasatan. Senarai penumpang yang termasuk anak kapal, masih disiasat di bawah empat perkara pokok iaitu kemungkinan rampasan, keganasan, latar belakang psikologi dan peribadi yang diingatkan berkali-kali oleh Ketua Polis Negara,” katanya semasa satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi.

Hishammuddin berkata demikian semasa menjawab soalan sama ada kesemua penumpang di dalam pesawat MH370 telah didapati “bersih” dari sebarang perkara yang mencurigakan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tiga hari lalu mengumumkan kesemua 227 penumpang telah "dibersihkan" daripada empat elemen siasatan itu.

Pesawat MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang, jam 2.40 pagi pada 8 Mac lalu.

Sejumlah 239 penumpang dari pelbagai negara termasuk anak kapal berada di dalam penerbangan tersebut.

Pencarian pelbagai negara kini tertumpu di selatan Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia.