Tiada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikesan cenderung atau terlibat dalam kegiatan keganasan militan Daish bagi tahun ini, ujar Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Jelasnya, fahaman Daish yang mempengaruhi anggota keselamatan itu disifatkan masih terkawal dan terhad kepada individu tertentu sahaja.

"Bagi 2014, dua anggota ATM telah dikenalpasti dan ditahan oleh PDRM. Namun, hanya seorang sahaja didakwa di mahkamah. Manakala pada 2015, 11 orang ditahan dan didakwa di mahkamah di mana sembilan daripadanya telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman, serta dua lagi masih dibicara," katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, ATM juga melaksanakan inisiatif kesedaran kepada anggota-anggotanya melalui program Task Force Perisai Wira ATM.

"Task Force ini merupakan gabungan komponen Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dengan komponen perisikan perkhidmatan Darat, Laut dan Udara serta diperkukuhkan dengan penglibatan Kor Agama Angkatan Tentera," tambahnya.

Melalui Pelan Pembangunan Keupayaan ATM, keupayaan aset dan kelengkapan turut dibangunkan seiring dengan pembangunan modal insan berkualiti yang merangkumi aspek kerohanian dan jati diri.

"Pada masa sama, ATM sentiasa bersiap siaga dan berupaya dalam menghadapi semua spektrum ancaman termasuk ancaman tradisional, ancaman keganasan dan ancaman keselamatan sejagat melalui konsep Operation Other Than War (OOTW)," katanya lagi.

Selain itu, latihan kepakaran dalam aspek fizikal, teknologi siber, dan pengurusan keganasan sentiasa dilaksanakan secara berkala untuk meningkatkan kemahiran warga ATM dalam menangkis ancaman keganasan.

"ATM juga merupakan sebahagian daripada Pasukan Khas yang ditubuhkan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama PDRM dan APMM untuk menangani ancaman Daish. Penubuhan Pasukan Khas ini merupakan satu lagi inisiatif di bawah NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan)," ujarnya lagi.