KUALA LUMPUR: Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai resolusi ditaja Malaysia pada Sesi ke-52nya yang berlangsung pada Isnin.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan selain Malaysia, resolusi bertajuk "Promoting Human Rights and Sustainable Development Goals through Transparent, Accountable and Efficient Public Services Delivery" itu turut ditaja oleh Azerbaijan, Georgia, Thailand, Turkiye, Kenya dan Ecuador.

Menurut kenyataan itu resolusi tersebut mendorong negara-negara untuk mempromosi, menerapkan dan mengintegrasikan prinsip-prinsip hak asasi manusia dalam perkhidmatan awam.

"Ia juga mendorong pertukaran maklumat dan amalan terbaik secara sukarela termasuk pendigitalan perkhidmatan awam," menurut Wisma Putra.

Menurut Wisma Putra resolusi itu mencerminkan usaha Malaysia untuk memajukan hak asasi manusia dan matlamat pembangunan mampan (SDGs), selaras dengan 'Malaysia Madani' yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Resolusi ini juga selaras dengan nilai-nilai teras Madani dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam melalui ketelusan, akauntabiliti dan integriti," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA