PUTRAJAYA: Malaysia akan menggunakan platform Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 untuk mengetengahkan cadangan penubuhan Majlis Halal ASEAN dengan Malaysia sebagai sekretariat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MPIH hari ini yang memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh tadbir urus, meningkatkan pelaburan serta memperluas akses pasaran industri halal Malaysia.
“Malaysia juga telah berdialog dengan Arab Saudi berhubung penubuhan Majlis Pembangunan Halal Dunia yang dicadangkan dipengerusikan oleh Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MIHAS 2026 berlangsung dari 23 hingga 26 Sept di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Selain itu, Ahmad Zahid berkata prestasi industri halal negara terus menunjukkan potensi besar apabila sehingga 30 Jun, sumbangan sektor halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 6.1 peratus kepada RM81.25 bilion atau 7.6 peratus daripada KDNK negara.
“Prestasi eksport pula berada pada RM33.29 bilion dan pelaburan kumulatif taman industri halal berjumlah RM13.73 bilion,” katanya.
Beliau berkata mesyuarat itu juga bersetuju supaya langkah memudah cara pensijilan halal perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diperkasakan melalui projek rintis di Kampung Bharu, termasuk penugasan pegawai pembangunan halal dan integrasi sistem pelesenan pihak berkuasa tempatan dengan MyHalal.
Beliau berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) juga akan mempergiat promosi kepada 14 taman industri halal berstatus Halal Malaysia (HALMAS) yang kini menempatkan 389 pelabur aktif.
Ahmad Zahid berkata beliau mahu kejayaan Inisiatif Halal Kotej Negeri Sembilan yang membantu 360 daripada 390 usahawan memperoleh pensijilan halal didokumentasikan sebagai model rujukan nasional.
Beliau berkata mesyuarat itu juga memberikan sokongan secara prinsip kepada Pelan Pembangunan Industri Halal Sarawak 2026-2030 ke arah Hab Halal Bersepadu Borneo.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata walaupun eksport halal Malaysia telah mencecah RM68.52 bilion pada 2025, hanya 14.7 peratus daripada syarikat berstatus halal merupakan pengeksport yang menunjukkan masih terdapat jurang perlu ditutup.
“Saya yakin industri halal Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai pemacu ekonomi negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global yang berdaya saing, berintegriti dan mampan,” katanya.
-- BERNAMA