MIKROORGANISMA mikroalga mampu mengawal kesan negatif pencemaran bauksit menerusi proses biopemulihan.

Ia memainkan peranan dengan meneutralkan serta merawat sungai atau kawasan yang tercemar akibat debu merah bauksit.

Umum mengetahui, mikroalga adalah sejenis mikroorganisma yang mempunyai satu sel, yang berfotosintesis dan dipercayai wujud sejak pembentukan bumi.

Bagaimanapun, ramai tidak mengetahui mikroalga sebenarnya berkemampuan untuk menyesuaikan diri terhadap persekitaran yang sangat ekstrem seperti sejuk serta panas melampau, kawasan kepekatan garam yang tinggi seperi di Laut Mati termasuk kawasan yang mempunyai nutrisi yang rendah.

Mikroalga dan kewujudannya di bumi


Proses biopemulihan mikroalga

Pensyarah kanan Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Khairul Adzfa Radzun berkata, mikroalga mempunyai potensi besar dalam menyelesaikan masalah pencemaran bauksit di Kuantan, Pahang.

Menurut Dr Khairul, untuk hidup, mikroalga memerlukan cahaya matahari, karbon dioksida serta elemen nutrien seperti aluminium, natrium, kromium, nikel, titanium dan elemen-elemen lain yang kebiasaannya wujud dalam pencemaran bauksit.

"Dalam konteks pengawalan pencemaran bauksit, mikroalga digunakan untuk menyerap elemen tercemar dan menggunakan sebahagian daripada nutrien bagi menjana pertumbuhan dengan proses biopemulihan," katanya dalam satu temubual ekslusif bersama Astro AWANI di Shah Alam, baru-baru ini.


Bagaimana mikroalga dapat mengurangkan kadar bahan tercemar bauksit?


Beliau berkata, berdasarkan penyelidikannya terdahulu, serapan elemen nutrisi mikroalga menunjukkan kadar serapan elemen nutrien adalah berkadar secara langsung dengan kadar pertumbuhan dan penghasilan biomas mikroalga.

Bagaimanapun, katanya, mikroalga perlu melalui proses penyesuaian diri dan pengoptimuman nutrien untuk hidup di dalam medium yang tercemar akibat bauksit seperti yang berlaku di Kuantan.

"Nutrien tertentu akan digunakan selepas kajian dilakukan di makmal untuk keperluan mikroalga ini. Ia adalah bagi membenarkan mikroalga menyesuaikan diri dengan bahan tercemar dan seterusnya menyerap serta mengurangkan bahan tercemar bauksit; sebelum ia mengeluarkan air yang selamat untuk dilepaskan ke kawasan sekitarnya," katanya.

Fungsi sistem robotik mikroalga

Sistem robotik pengoptimuman nutrien mikroalga

Dr Khairul berkata sekiranya proses penyesuaian diri tidak dilakukan dengan sempurna, mikroalga tidak akan dapat tumbuh dengan sempurna dan ia akan menjejaskan proses serapan elemen yang tercemar.

Tambahnya lagi, bagi mengelak daripada mikroalga tumbuh dengan tidak sempurna, sistem robotik bernilai RM 1.5 juta di Makmal Penyelidikan Mikroalga diguna pakai.

Beliau berkata, sistem ini boleh menentukan parameter serta komposisi elemen nutrien yang optimum untuk membolehkan mikroalga bertumbuh dengan baik di dalam sampel air yang telah tercemar dengan bauksit.

Proses Biopemulihan Mikroalga: Kelebihan menggunakan sistem robotik unik

"Sistem robotik berkenaan direka khas untuk tujuan pengoptimuman mikroalga dan ia dapat menjalankan banyak eksperimen dalam satu masa dengan lebih 1700 formula nutrien dapat diuji dalam satu sesi ujian. Melalui sistem robotik ini kebarangkalian untuk mendapatkan parameter dan formulasi yang sesuai adalah tinggi.

"Dari segi sumber mikroalga pula, makmal kami mempunyai lebih 200 sampel mikroalga dan mempunyai teknik untuk mendapatkan mikroalga yang sesuai untuk proses biopemulihan bahan tercemar bauksit ini," katanya lagi.


Proses pencambahan Mikroalga

Apa yang berlaku selepas mikroalga bercambah?

Dr Khairul berkata, selepas mikroalga tumbuh dengan baik di kawasan yang tercemar akibat bauksit, ia akan menghasilkan biomas yang banyak dan boleh digunakan sebagai bahan api bio.

"Selepas alga bercambah, ia akan kekal berada di kawasan berkenaan. Ia akan terampai-ampai dalam larutan air. Jadi apa yang kita akan buat adalah dengan mengeluarkan semula air tercemar yang telah dirawat dan menuai biomas alga. Proses penuaian biomas juga mempunyai sistemnya tersendiri, dan ianya sudah pun wujud.

"Kita menuai mikroalga, dan keluarkan air, seperti proses penapisan. Kita kena tapis supaya biomas ini boleh diasingkan dengan air yang telah terawat. Air yang telah terawat boleh dilepaskan kepada persekitaran," katanya.

Beliau berkata, biomas yang dituai tersebut juga boleh menyuburkan semula kawasan perlombongan bauksit.


Proses Biopemulihan Mikroalga : Apa yang berlaku selepas percambahan mikroalga?