KUALA LUMPUR: Kesemua enam aspirasi yang disasar dalam tempoh 100 hari pertama Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan (Mindef) berjaya dicapai dengan jayanya, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan itu, keenam-enam aspirasi tersebut merangkumi memerangi COVID-19; mengawal sempadan negara; mengeratkan kerjasama antarabangsa; memenuhi keperluan kediaman anggota; membela kebajikan veteran ATM dan melaksanakan program jiwa murni.

Pencapaian itu, bagaimanapun, tegas Hishammuddin, tidak berhenti di situ sahaja, sebaliknya, beliau bersama seluruh warga kerja Mindef enggan berlengah dan meneruskan perancangan untuk 100 hari akan datang mulai esok (10 Disember).

“Esok, Mindef akan memulakan perancangan pasca 100 harinya dan Insya-Allah saya sendiri akan melihat apakah dasar dan inisiatif yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun 2022 melalui Pelan Tindakan 2022.

“Mindef akan turut memberi tumpuan terhadap perancangan jangka masa panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Pelan Strategik Mindef 2021-2025 serta Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” kata Hishammuddin.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perbarisan Aspirasi Keluarga Malaysia – sempena 100 Hari Pertama Pentadbiran di bawah Menteri Kanan Pertahanan, di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Mengulas pencapaian ATM dan Mindef secara lanjut, Hishammuddin berkata, melalui operasi Combat Medic Vaccination Team khususnya di Sabah dan Sarawak, bantuan yang dihulurkan berjaya memberi vaksinasi kepada 25,092 penduduk pedalaman.

Untuk inisiatif Vaksinasi Pandu Lalu pula, kata beliau, dalam tempoh kurang dua bulan, seramai 14,097 remaja menerima vaksinasi lengkap.

[TERKINI] 100 Hari Pertama Pentadbiran Kementerian Pertahanan


Sementara bagi pelaksanaan Operasi Benteng pula, katanya lagi, sehingga 7 Disember lalu, seramai 17,023 pendatang asing tanpa izin berjaya ditangkap.

Untuk pengoperasian hospital medan pula, beliau berkata, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah memaklumkan penglibatan pasukan perubatan dari Kor Kesihatan Diraja menerusi hospital-hospital medan ATM membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merawat ribuan pesakit COVID-19.

Selain itu, Hishammuddin berkata, sebanyak 107 Projek Jiwa Murni dilaksanakan tahun ini hasil kerja keras anggota dari Rejimen Jurutera Diraja dan 21 penerbangan bantuan TUDM dilakukan bagi membawa peralatan perubatan COVID-19 khususnya ke Sabah dan Sarawak serta Semenanjung.

“Dari sudut perumahan, untuk 100 hari pertama ini, matlamat kita adalah menyediakan sekurangnya-kurang 2,000 unit kediaman baharu dan ia telah dapat direalisasikan menerusi pelancaran 2,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Bukit Jalil oleh Perdana Menteri pada 3 November lalu.

“Ketika ini Mindef juga sedang melaksanakan perancangan untuk membina 28,033 unit RKMAT di seluruh negara dari tahun 2021 sehingga tahun 2030. Jumlah ini termasuklah 8,852 unit RKMAT seperti diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi RMK12,” katanya lagi.

Selain itu, Hishammuddin berkata, pendekatan Diplomasi Pertahanan juga diperkukuh dalam 100 hari ini termasuk melalui 11th FPDA Defence Minister’s Meeting; ASEAN Defence Ministers’ Meeting, Manama Dialogue dan komunikasi dua hala berterusan.

“Pencapaian 100 hari tidak boleh menjadi kayu ukur kecemerlangan kementerian ini secara keseluruhannya. Tetapi, ia boleh menjadi pemangkin atau catalyst kepada setiap inisiatif di bawah perancangan yang merangkumi tempoh jangka masa lebih dari 100 hari.

“Saya yakin, dengan perancangan rapi, disiplin tinggi, struktur yang tersusun, kita boleh lakukannya. Saya beri jaminan, selagi saya Menteri Pertahanan, saya akan bersama dalam setiap langkah perjuangan kita di Mindef dan ATM,” ikrar Hishammuddin.