MALAYSIA
MINDEF kenal pasti alasan kesihatan, komitmen pekerjaan peserta PLKN tidak daftar diri

Adly (kanan) ditemui pemberita sempena Program Veteran Desa MADANI Jajahan Jeli di Sekolah Kebangsaan Sungai Rual hari ini. - Foto Bernama
JELI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang mengenal pasti punca kegagalan 206 peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 mendaftar diri pada Mei lepas, sama ada disebabkan faktor kesihatan atau komitmen pekerjaan.
Ringkasan AI
- Punca kegagalan pendaftaran sedang dikenal pasti: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang meneliti alasan di sebalik kegagalan 206 peserta PLKN 3.0 mendaftar, termasuk faktor kesihatan dan komitmen pekerjaan.
- Kemungkinan tindakan undang-undang: Peserta yang gagal mendaftar boleh dirujuk ke Bahagian Undang-Undang di bawah Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003, namun kementerian akan menilai situasi secara menyeluruh sebelum mengambil tindakan.
- Usaha meningkatkan penyertaan Orang Asli dalam ATM: MINDEF berusaha memperluas program kesedaran bagi meningkatkan penyertaan Orang Asli dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya sebagai askar wataniah, dengan fokus di Kelantan dan Perak.
"Kita mahu tahu punca sebenar kegagalan mendaftar kerana kaedah yang digunakan bukan hanya dengan memberi makluman, tetapi kita turut berhubung secara langsung dengan mereka yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Veteran Desa MADANI Jajahan Jeli di Sekolah Kebangsaan Sungai Rual di sini hari ini.
Adly berkata, pihaknya sedang menunggu laporan daripada jawatankuasa PLKN termasuk pembentangan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berkaitan alasan dan senarai nama peserta terlibat.
Menurutnya, meskipun terdapat peruntukan undang-undang yang boleh digunakan terhadap mereka, kementerian tetap akan menilai secara keseluruhan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.
"Jika tiada pilihan lain, barulah kita menggunakan peruntukan undang-undang bagi tujuan mendisiplinkan mereka," katanya.
Di bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628), peserta yang gagal mendaftar dalam tempoh ditetapkan boleh dirujuk ke Bahagian Undang-Undang.
Sementara itu, mengenai penglibatan Orang Asli dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya sebagai askar wataniah, Adly berkata penyertaan mereka masih rendah.
Justeru, pihaknya akan memperluas pelaksanaan program kesedaran di perkampungan Orang Asli, yang sebelum ini tertumpu di Perak, dan seterusnya ke Kelantan khususnya di kawasan Gua Musang dan Jeli.
"Walaupun tiada angka sasaran ditetapkan, kita yakin jumlah penyertaan akan meningkat menjelang akhir tahun ini sekiranya program kesedaran terus dilaksanakan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami