LABUAN: Kementerian Pertahanan (Mindef) melaksanakan enam projek pembangunan di kem tentera yang terletak di sepanjang pantai barat Sabah dan Labuan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata projek itu bertujuan meningkatkan kebajikan anggota tentera dan mewujudkan persekitaran yang kondusif.

Beliau berkata lima projek pembinaan di Sabah ialah di Kem 5 Brigade dan Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kota Belud; 1,036 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) pelbagai kelas di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kota Kinabalu; 633 unit RKAT di Kem Paradise Kota Belud bagi 5 Briged dan 19 RAMD; bangunan tambahan bagi Wisma Laskar di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Kinabalu (PTKK); dan 513 unit RKAT pelbagai kelas di Kem Lok Kawi.

Projek lain membabitkan 123 unit RKAT pelbagai kelas di kem pangkalan TUDM di Membedai di sini yang telah bermula pada Januari 2022 dan dijadual siap Mac 2025.

Adly dalam lawatan kerja lima hari ke beberapa kem tentera di Sabah, termasuk Semporna, Sepanggar, Lok Kawi dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Tujuan lawatan ini adalah untuk mendapatkan taklimat mengenai projek pembangunan berkenaan dan menilai kesediaaan serta kecekapan aset dan anggota tentera," katanya kepada pemberita selepas melawat pangkalan TUDM Labuan di Membedai di sini hari ini.

Semasa lawatan itu, beliau meninjau kerja-kerja menaik taraf yang sedang dijalankan di Aerodrome di Stesen Udara Kota Kinabalu dan menilai infrastruktur di Pulau Layang-Layang serta Kapal Misi Pesisir (LMS) di Pangkalan TLDM Sepanggar.

Sementara itu, Adly berkata Labuan telah dilengkapi dengan radar pengawasan jarak jauh Lockheed Martin TPS-77 sejak Disember lepas, menggantikan radar Alenia yang telah dinyahaktifkan.

Beliau berkata radar baharu di TUDM Bukit Kubong di sini itu, meningkatkan aset pertahanan negara dengan ketara, sambil menambah bahawa Mindef akan terus menaik taraf aset sedia ada dan memperkenalkan teknologi baharu bagi memenuhi keperluan pertahanan negara yang semakin berkembang.

-- BERNAMA