Skip to main content

Malaysia

MINDEF tidak mahu rundingan KDA jadi taktik lengah tuntutan RM1.06 bilion - Khaled

KUALA LUMPUR, 23 April -- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap pada pemberita selepas majlis penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Khaled berkata MINDEF akan terus berwaspada terhadap sebarang usaha yang boleh menjejaskan atau melengahkan penyelesaian tuntutan terhadap syarikat itu. -Foto Bernama
Advertisement

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan sebarang perbincangan dengan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) berhubung tuntutan RM1.06 bilion akibat pembatalan perolehan peluru berpandu antikapal (NSM) tidak boleh dijadikan alasan untuk melambatkan proses penilaian yang sedang dijalankan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihak KDA ada mengemukakan permohonan untuk mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu berkenaan, namun MINDEF akan memastikan proses tuntutan tidak terjejas.

“Ada pihak syarikat minta untuk berbincang. Walaupun kita kata boleh, kita bincang, tapi kita tak mahu ia sebagai satu taktik untuk melengah-lengahkan.

"Kita sentiasa sedar jika ada apa-apa taktik-taktik sedemikian yang digunakan supaya kita tidak terperangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (PIKAT) di Felda Air Tawar 2, di sini, pada Ahad.

Tambah Khaled, MINDEF akan terus berwaspada terhadap sebarang usaha yang boleh menjejas atau melengahkan penyelesaian tuntutan terhadap syarikat itu.

Ia susulan tindakan Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.

Menurut laman sesawang KDA, perolehan NSM dimeterai di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak kira-kira RM571.9 juta bagi melengkapkan enam kapal tempur pesisir (LCS) baharu.

Susulan itu, Malaysia menuntut RM1.06 bilion daripada KDA ekoran pembatalan NSM dengan merangkumi tuntutan langsung sebanyak kira-kira RM604 juta iaitu bayaran yang sudah dibuat oleh kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Khaled berkata satu pasukan penilai yang dianggotai pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah ditubuhkan bagi menilai sistem peluru berpandu pengganti NSM.

Menurut beliau, empat pilihan terbaik itu adalah dari Turkiye, Korea Selatan, serta dua negara Eropah sedang dinilai bagi menentukan sistem paling sesuai untuk melengkapkan LCS TLDM.

 

Must Watch Video

Advertisement