Kerajaan menyumbang AS$1 juta kepada Filipina bagi membantu mangsa taufan Haiyan yang melanda beberapa wilayah di negara itu.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, sumbangan itu tidak termasuk jumlah lebih RM1 juta dalam bentuk ubatan dan peralatan yang disumbang Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

"Itu tanda keprihatinan negara dan membuktikan persahabatan erat dengan negara jiran selama ini. Kita juga akan menyalurkan bantuan susulan dari semasa ke semasa," katanya dalam sidang media sebelum perlepasan bantuan pasukan misi kemanusiaan KP1M di sini.

Dalam pada itu kata Hamzah, kelewatan bantuan disebabkan kelewatan kelulusan pendaratan daripada kerajaan Filipina.

Jelasnya, satu pasukan kecil untuk memantau kemungkinan pembinaan pusat kesihatan juga dihantar di dalam misi ini.

"Kita hantar 'Smart Team' untuk tentukan 'field hospital' yang strategik dan akan dibangunkan dalam tempoh terdekat.

"Satu lagi pasukan akan dihantar esok (Khamis) dan memastikan perjalanan misi bantuan ini lancar," ujarnya.

Misi kemanusiaan Haiyan merupakan misi ke-34 dikendalikan oleh KP1M.